Owner Post Them Follow Dash



YAya IEdayah
YAya IEdayah;

Bonjour!



Strive for your dreams, Work hard to get what you like, Otherwise you'll be forced to just like what you get.

Tagboard

Speak clearly, if you speak at all; Carve every word before you let it fall



Kahwin Kekwat


Sejak aku dinaikkan pangkat menjadi pengurus ni, aku semedang saja sibuk! Tak ada masa untuk diri sendiri apatah lagi untuk orang lain. Walaupun butik ini tidaklah sebesar mana tapi, menjadi pengurus butik kepada 4 cawangan ni, aku perlu semak segala-galanya. Mak datin tu dah bagi peluang besar dekat aku, takkanlah aku nak tolak pula! Elok saja diberi kepercayaan, nanti ditarik balik, aku juga yang merana. Mak dekat kampung tu, elok-elok dapat sebulan RM500.00, nanti langsung tak dapat apa. Kes naya juga tu!

“Kak Deeb! Tak apa ke? Saya kena balik ni. Esok sajalah kita sambung. Akak tak mahu balik ke?”

“Tak mahu lagilah. Lagi sikit saja nak settle check stok ni. Esok ada masuk stok baru, takut tercampur. So, baik check siap-siap sebelum balik. Tak apalah, Lisa baliklah Rumah Lisa jauh tu, pergilah balik.”

“Isk! Akak ni rajin betul lah! Patutlah mak datin tu suka dekat Kak Deeb.”

Aku tersengih. “Rajin ada makna ni, Lisa!”

“Okay kak Deeb, Lisa balik dululah. Kak Deeb, Lisa tak kunci pintu tau! Lisa tak ada kunci. Kunci Lisa dekat Hanim.” Ujar Lisa, sudah menunggu di depan pintu untuk keluar.

Aku bangun dan bingkas ke arahnya. “Okay, okay. Jumpa esok, datang awal sikit sebab nak pasang baju baru for display.”

Lisa mengangguk-angguk. Aku melambai Lisa, menutup pintu kedai dan menguncinya dari dalam. Lampu depan itu aku biarkan terbuka dan aku ke bilik belakang, siapkan kerja. Aku mengerling ke arah jam di dinding. Sudah tepat pukul 10.00 malam. Huh, tunggu sekejap lagi, baru aku akan balik. Lagi sikit saja nak update stok yang ada. Untuk 4 kedai punya stok, so kerjanya agak banyak juga. Jadi, nak tak nak, aku kena stayback. Nak buat esok juga boleh, tapi aku malas nak tunggu. Esok stok lain masuk, aku akan jadi kelam kabut! Baik buat sekarang…

Sepatutnya, aku kena menyelesaikan kerja ini dua malam yang sudah, tapi disebabkan ada kerja urgent dekat kedai di pekan lama tu, aku terpaksa batalkan. Marah Lisa sebab aku tak tolongnya dua malam yang sudah. Hari ini baru aku boleh tolong, tapi dia pula kena cepat balik. Nasiblah!

Lama tak lama… baru aku tersedar, jam sudah tepat 11.30 malam. Aku cepat berkemas dan mahu pulang. Bila aku buka saja pintu kedai… tiba-tiba ramai di hadapan pintu itu.

“Cik, baru nak balik?” tanya lelaki yang memakai kopiah berbaju melayu berwarna hitam

“Ya, baru sudah siap kerja.” Jawab aku tersenyum sambil mengunci pintu kedai.

“Kerja berkhalwat?” tanya lelaki yang memakai kopiah berjubah putih.

“Haa? Apa yang encik cakapkan ni?” Aku terkejut. “Khalwat apa benda ni encik?”

“Masuk hari ini, sudah tiga kali memerhatikan kedai ini. Hari ini, kami mahu serbu.”

Aku tergamam. “Tapi, saya seorang saja dalam kedai ni.”

“Cik jangan nak menipu. Baru setengah jam yang lalu ada seorang lelaki masuk ke dalam kedai.”

“Hah?!” Aku tergamam. “Saya tak tahu pun!”

“Tak tahu atau pura-pura tak tahu.” Yang berbaju hijau pula menyampuk.

Aku mengucap panjang. “Takkan saya nak tipu pula!”

“Dah kena tangkap baru nak beristigfar?”

Aku pelik! “Kalau encik semua tak percaya, masuklah, checklah!” Aku membuka semula pintu kedai dan memaksa mereka masuk. Carilah kalau betul aku bawa lelaki. Baru hari inilah aku nak stayback. Lelaki apa yang masuk? Pelik! Aku tak dengar apa pun!

“Amboi! Awak kata tak ada orang, habis di dalam bilik ini, siapa?” tanya lelaki berjubah putih tadi.

Aku mengerut dahi dan bergerak ke dalam bilik rehat pekerja. Alangkah terperanjatnya aku apabila ada seorang lelaki yang tidak berpakaian, nyenyak tidur di atas katil itu.

“Err.. saya tak kenal! Saya tak tahu macam mana dia boleh ada dekat sini!” ujar aku, agak terperanjat! Mula pucat mukaku!

“Encik! Sila bangun…”

Lelaki yang sedang tidur tadi, dikejutkan oleh lelaki berbaju melayu hitam itu. Dia terpisat-pisat bangun dan mengosok matanya.

“Baru hendak tidur ni, apa ni?” bebel lelaki itu.

“Kamu berdua ditangkap kerana disyaki berkhalwat. Kamu berdua tiada alasan untuk berkhalwat, apa-apa boleh bercakap di balai!” ujar lelaki berbaju melayu berwarna hijau.

Dan aku pengsan!

******

“Senang cerita, kahwin sajalah!”

Aku terpinga-pinga bangun. Harap apa yang berlaku tadi, hanyalah mimpi! Rupanya, bila aku mendengar bab kahwin tadi… aku mula nak pengsan balik.

“Deeba!” jerit mak datin bila dia nampak aku sudah terjaga dan mahu kembali tumbang.

“Saya dekat mana ni?” tanya aku.

“Hospital!” jawab mak datin.

“Kenapa dengan saya?” ceh, buat-buat tanya pula si Deeba ni!

Tiba-tiba muncul dia, buat aku tergamam.

“Kenapa awak kata? Awak tu kena kahwin dengan saya, tahu tak!” bentak lelaki itu.

“What?!” aku terkejut!

“Jangan nak buat terkejutlah!”

“Ehh… kalau terkejut, tak adanya nak pengsan.” Aku mula nak marah. Habis, dia ingat dia saja yang betul!

“Selama ni, saya duduk tidur di dalam bilik tu, tak ada pula yang kacau! Tiba-tiba awak datang bawa masuk ustaz-ustaz tu, awak nak perangkap saya ya? Awak tahu tak perbuatan awak ni, sangat keji!!”

“Aik! Salah saya pulak. Saya kerjalah! Saya tak ada masa hendak buat kerja tak berfaedah macam tu lah! Lagipun, saya tak kenal awak, apa hal pula saya nak perangkap awak!”

“Eiii… diam!!!” jerit mak datin.

Aku dan lelaki itu terdiam.

“But mummy!” bentak lelaki itu.

Aku tergamam. “Mummy?”

“Ini anak saya yang sulung Deeba, Aizat.”

Aku mengucap panjang! Aku selalu dengar mak datin bercakap tentang Aizat! Tapi aku tak sangka dia sudah balik dari London. Ini Aizat? Indah khabar dari rupa! Kekwat gila!

“Aizat, inilah pengurus butik mummy, Adeeba Aaliyah!”

“Sekarang ni tak ada masa untuk suai kenal lah mummy! Apa pun, ini bukan salah Aizat! Kalau ikutkan cerita dia, dia pun tak salah. Aizat memang tidur dekat kedai sebab balik lambat. Kalau balik ke rumah pun, mummy tak bagi Aizat balik tidur. Dah tiga hari, Aizat tidur dekat butik!” cerita Aizat.

“Saya baru pertama kali stayback malam ni dekat butik ni, datin. Selama ni, saya stayback dekat butik satu lagi tu!” cerita aku.

Mak datin hanya diam.

“Daripada berita ini sampai ke pengetahuan papa, which is papa pasti akan menjerit punya, jadi, mummy rasa, kamu berdua patut berkahwin.”

“Haaaa??!!” jerit kami berdua, serentak!

“Ini bukan kahwin khalwat namanya, ini kahwin kekwat!! Siapa nak kahwin dengan minah kekwat macam ni?” geram Aizat!

“Macamlah saya nak kahwin dengan awak tu! Saya pun tak inginlah!” Aku juga bengang!

“So, macam mana ni? Nak settle ke tak mahu? Kalau tak mahu, kita settle di balai. Nampak yang pengsan pun dah boleh bercakap. Jom kita ke balai?” tiba-tiba lelaki yang berjubah putih itu muncul di dalam bilik kecemasan itu.

Aku tergamam. Aku memandang Datin Aisyah. Aku betul-betul mahu segera ada penyelesaian dan penyelesaian itu bukanlah berkahwin dengan mamat itu! Aku tak nak! Bukan aku salah pun! Ini semua salah faham.

“Okaylah! Kita orang kahwin!” tiba-tiba Aizat bersuara.

“Haaa?!” Aku terkejut!

******

“Ribut takdak, angin takdak, tiba-tiba hang nak kahwin? Hang ni biaq betui Deeba. Hang ni kena tangkap basah ka? Pasai pa nak kahwin macam cowboy ni? Hang tu ada kakak. Takkan nak langkah bendui kot! Sat lagi apa pula kata orang, jiran-jiran, sedara mara, sepupu sepapat…” mak membebel-bebel.

“Laaa… orang nak kahwin pun mak bising. Orang tak kahwin pun mak bising. La ni Deeba yang nak kahwin bukan jiran-jiran ka, sepupu sepapat ka!” Aku sudah muncung sedepa. Payah sungguh nak bercakap dengan mak melalui telefon ni.

“Satlah!” ujar aku.

Aku menuju ke arah Aizat. “Nah! Awak cakap sendirilah dengan mak saya!”

“Kenapa pula saya?”

“Awak tu yang nak kahwin dengan saya, saya tak ingin nak kahwin dengan awak!” Aku menekup telefon bimbit itu agar mak tak dengar apa yang aku cakap dengan Aizat.

“Hish! Saya pulak! Sekarang ni, awak yang rancang untuk kahwin dengan saya kan? Awaklah yang solve problem ni!”

“Hello!!! Lebih baik kita bicara di mahkamah dan report di balai sajalah!”

“Sebab itulah saya setuju nak kahwin daripada memalukan diri saya nak turun naik mahkamah!”

Aku tercengang! Sanggup begitu? Semata-mata tak mahu menanggung malu? Gila! “Awak ni sakit otak ya? Lebih baik pi report daripada kena kahwin macam ni?”

Aizat merengus.

“Kenapa ni? Tak selesai lagi ke?” tanya mak datin, sesudah selesai membuat pembayaran bil hospital untuk aku.

“Mak nak cakap. Tapi Aizat mengelak!” ujar aku.

“Ohh.. tak apa, biar mummy settle.” Ujar mak datin dan dia mengambil telefon itu dari tanganku.

Aku tergamam. Mummy? So suddenly?

******

Lama mak berbual dengan mak datin. Aku yang sudah segar bugar, tunggu di luar hospital bersama mamat kekwat yang sedang menghisap rokok. Hish! Inikah rupanya bakal suami aku? Boleh tak aku tak mahu menggadai masa hadapan aku dengan mamat yang berlagak macam ni? Aku wonder who is he actually! Punyalah kekwat mengalahkan mak datin. Mak datin pun tak sombong bongkak macam ni.

“Macam mana awak boleh masuk dalam kedai? Takkan awak tak sedar, lampu masih terbuka?” tanya aku.

Dia yang sedang menghisap rokok, berkerut dahinya memandang aku.

“Saya balik mengantuk! Saya peduli apa lampu terbuka. Saya agak mungkin pekerja mummy tak tutup lampu.” Alasan dia.

“Awak tak tengok ke saya dalam bilik setor tu?” tanya aku lagi. “Kan sebelah saja bilik pekerja yang awak tidur tu?”

“Kan saya cakap dengan awak, saya tak perasan!” Dia membentak.

“Kenapa ustaz-ustaz tu cakap, mereka sudah intip tempat tu banyak kali. Awak memang bawa perempuan masuk dalam kedai mummy awak ya? Awak nak mengaku ke tidak?” tanya aku bertubi-tubi.

Aizat tergamam. “Who are you to judge me like that?”

“Saya nak tahu!”

“Awak tak perlu tahu!”

“Saya perlu tahu.”

“Kenapa awak mahu tahu?”

“Sebab senang saya nak minta cerai selepas kena paksa kahwin dengan awak. Saya tak mahu kahwin dengan lelaki yang bebas macam awak!”

Aizat tergamam. “Itulah perempuan. Belum apa-apa, dah tuduh orang yang bukan-bukan.”

“Habis tu, kenapa nak mengelak pula?”

“Sudahlah! Jangan bising! Saya tak sukalah perempuan bising-bising. Saya nak kahwin dengan awak ni pun, dah cukup baik tahu! Kalau tidak, siapa nak kahwin dengan perempuan yang kena tangkap khalwat?”

Aku terdiam.

“Kenapa? Awak sudah ada boyfriend?”

Aku memandang dia.

“Saya berani kerat jarilah kalau awak cakap dekat dia, awak kena tangkap khalwat. Gerenti! Belum habis ayat awak, dia sudah cabut lari!”

Aku sudah bengang! Kekwatnya mamat nih!!!

******

“Lamanya mummy nih! Borak apa sampai lama sangat?” marah Aizat sebaik saja mak datin masuk ke dalam kereta.

“Haih, nak meminang anak orang bukannya beli ikan dekat pasar. Mestilah macam-macam kita nak cakap, berlapik ikut adat. Kita ni pihak lelaki!” ujar mak datin.

Aku di belakang, diam saja.

“Alah! Kahwin khalwat saja. Free! Apa susah-susah. Malam ni pun boleh terus menikah.”

Aku tergamam! “What?!! Awak memang sukakan benda ni semua terjadi? Supaya lepas malu awak, malu keluarga saya, awak tak mahu nak tanggung?” Aku jadi marah. Tak peduli dah sebelah aku ni, ada mak datin. Mana tak bengang! Sesedap rasa saja dia bercakap.

“Maafkanlah anak mummy ni, Deeb.” Ujar mak datin meminta maaf bagi pihaknya.

“Hish! Macam mana nak kahwin dengan orang keras kepala, kekwat macam ni mummy? Macam ni ke nak buat menantu mummy? Ini bukan menantu, ini hantu tahu!”

Aku menepuk dahi. Ada saja ayat-ayat yang keluar dari mulutnya buat aku marah.

“Aizat…” tegur mak datin.

Aizat diam.

“Macam ni Deeb. Mummy sudah bincang dengan mak Deeb tadi. InsyaAllah, this week kami akan datang masuk meminang dan menikah terus. Mummy langsung tak cakap tentang tangkap khalwat tu. Benda dah lepas, mummy tak mahu cakap banyak. Asalkan kamu berdua sudah berjanji hendak berkahwin. Lagipun, mummy tak sukalah, kalau sampai ke pengetahuan papa. Papa Aizat tu, barannya lain macam.”

Aku terus diam. Menikah terus? Glup!

“Tapi saya tak salah datin! Saya memang ada dalam setor sedang check stock! Saya tak sedar pun dia ni masuk. Saya memang tengah buat kerja! Saya tak main-main. Saya tak kenal pun dia ni siapa!” ujar aku. “Saya mangsa keadaan.” Aku sudah mula sebak.

Tak sangka, aku terperangkap dalam hal yang begini.

“Aizat pun tak buatlah benda tu mummy! Ini semua salah faham. Tak boleh ke kalau kita settle sendiri-sendiri without police report, without going to court? Without papa’s knowledge? Tak boleh ke mummy?”

Satu-satu perkara yang berkualiti yang keluar dari mulut Aizat yang sangat-sangat aku sokong!

“Ada saksi?”

Aku dan Aizat mengelengkan kepala.

“Ada orang lain selain kamu di kedai?”

Kami mengelengkan kepala kami lagi!

“Jadi susahlah kita nak menang kes.”

Aku mengeluh.

“Solutionnya kahwin lah!”

Aizat mengetap bibirnya.

“Lagipun, mummy suka dekat Deeb. Dan mummy pasti, Aizat boleh jadi suami yang baik.”

“Matilah!” Tiba-tiba aku dan Aizat, berkata serentak! Ayat yang sama!

“Haa… tengok. Belum apa-apa, sudah sepakat!” Mak datin tersenyum.

Aik… mak datin ni. Dia pula yang excited! Pelik!

******

Malam itu, aku tak boleh tidur. Entah apalah yang akan berlaku esok! Mesti mak akan serang aku dan tetak aku dengan parang kalau dia tahu aku kena tangkap khalwat. Bolehkah aku bertahan tanpa berbohong dengan mak? Apa pula aku nak cakap dengan Kak Chaq? Aduhai! Kenapalah aku kena melalui masalah macam ni? Tak bolehkah tuhan bagi aku cerita hidup yang sederhana, senang dan mudah?

Ini nasib baik, abah sudah meninggal. Kalau abah masih hidup, naya aku kena kerat lapan belas pulak! Haih…

Aku mengeluh dan mengeluh lagi. Kalaulah mengeluh ni boleh dapat duit? Gerenti aku kaya! Tiba-tiba telefon aku berbunyi, mata terbeliak melihat nama di skrin telefon bimbitku.

“Hasif?” Jeng jeng jeng!

Segera aku mengangkatnya. “Hello…”

“Tak tidur lagi?”

“Kalau yang jawabnya saya, sudah tentulah tak tidur lagi. Kenapa?” Aku mengerut dahi. Apa punya soalan daaa mamat ni?

“Entah, hari ni rasa hati tak berapa nak sedaplah! Saya asyik teringatkan awaklah, Deeba.”

“Awak ingatkan Adeeba Aaliyah ke Adibah Noor?”

Hasif ketawa. Dia suka menyamakan aku dengan Adibah Noor. Bukan sebab saiz badan aku tapi sebab nama aku diejeknya! Geram! Pantang tok nenek aku orang main-mainkan nama aku sebab nama aku arwah abah yang bagi.

“Saya ingatkan awaklah Deeb. Saya dapat rasa awak ini seperti dilanda masalah. Awak ada masalah ke, Deeb? Ada yang boleh saya bantu untuk ringankan masalah awak tu?”

Errkk… Tiba-tiba aku teringat kata-kata mamat kekwat. Lagi cepat aku selesaikan masalah ini, lagi senang hidup aku tak diganggu dengan Hasif! Kalau tak, balik-balik dia yang muncul! Kacau!! Annoying!

“Saya kena tangkap khalwatlah malam tadi dekat kedai!”

“Apa??” Hasif terkejut.

“Bukan salah saya! Saya takkan buat kerja terkutuk macam tu lah!”

Hasif terdiam.

“Saya tak tahu macam mana nak cakap dengan mak dan kak chaq!” Aku mengeluh lagi. Buntu!

Hasif diam. Sunyi dan sepi…

“Errkk.. Hasif? Awak ada lagi ke kat situ? Saya tahu, awak tak boleh nak tolong saya. Tak apa, salah saya, biar saya kahwin sajalah dengan mamat tu!” ujar aku, membentak.

“Deeba… Jangan!!” jerit Hasif, tiba-tiba.

Lorh! Ingat talian dah putus… dia dah cabut lari!

“Saya akan kahwini awak Deeba! Awak jangan risau! Kita fight dekat mahkamah…”

Glup! Aku ternganga.

******

Aku sudah silap percaturan. Sepatutnya, aku tak mendengar kata-kata mamat kekwat tu! Patutnya aku dengar kata hati aku sendiri. Kenapa pula sekarang ini aku mendengar kata-kata si Aizat pula? Aduhai Deeb! Apa dah jadi dengan kau ni? Miserable!

Aku termenung. Masuk kerja pun tidak bersemangat.

“Semalam, akak balik pukul berapa?” tanya Lisa.

“Haa…” Aku terpinga. Tak sedar yang Lisa bertanyakan sesuatu pada aku.

“Semalam, kak Deeb balik pukul berapa? Nampak bukan macam mengantuk! Tapi nampak macam letih. Lewat ke?” tanya Lisa lagi. Dia memandang aku sebentar dan kemudian sibuk menukar baju kepada patung di hadapannya.

“Aahh… dekat midnight.” Jawab aku bersahaja. Aku memegang kepala aku. Tak pening, tapi tengah konfius.

Aku melihat jam di dinding. Kejap lagi, aku bakal minta nyawa! Si Hasif mesti jadi pak pacak depan butik ni. Sengaja aku tak buka pintu butik tu lagi, aku takut dia tiba-tiba jadi gila nak kahwin dengan aku. Semalam, aku terus menutup telefon dan tidak buka sehinggalah pagi tadi, aku tengok mesej dekat 100 lebih! Gila… belum lagi missed call… mamat tu tak tidur ke apa?

“Akak ni macam tunggu orang saja?”

“Haa??”

“Yang akak tengok jam tu kenapa? Tunggu buah hati ke?”

“Haaa?? Siapa?”

“Hasif?” Lisa ketawa.

Aku langsung tak gelak. Bagi aku, itu bukan kelakar. Itu nightmare namanya. Dahlah semalam macam-macam hal, hari ini apa pula aku nak kena tempuh? Jangan kena rempuh dengan Hasif saja sudah! Mata aku memandang pintu itu, tidak bergerak. Pintu yang jernih boleh nampak keluar, tiba-tiba… terbuka. Aku tercengang!

“Ayang!”

Lisa memandang aku… “Kak?”

Aku terbangun dari kerusi. Tegak! Seperti sedang mendengar lagu Negaraku yang berkemundang di Sukan Olimpik. Menang emas! Tapi… apa yang aku lihat di hadapan aku ni, ni bukan macam menang emas. Ini nak menangis lagi ada!

“Ayang! Awak dah siap ke ni? Kita nak pergi tengok cincin.” Ujar Aizat.

“Haa?!” Aku agak terkejut. Ayang mana hala pula ni? Aku memandang ke belakang, tak ada siapa. Belakang aku cuma dinding berwarna pink, featured wall butik mak datin.

“You are being funny!” Aizat tersengih-sengih. “Jomlah cepat, abang nak pergi pejabat pula ni!” Dia mula hendak menarik tangan aku.

Salam tak bagi, apa pun tak ucap, tetiba muncul ajak tengok cincin? Gila tak gila dia ni.

“Errkk…” Aku memandang dia pelik. Sebelum dia membuat yang macam-macam, aku cepat menarik beg.

“Kak? ” Lisa tergamam. Terkejut agaknya tiba-tiba ada lelaki masuk dan memanggil aku ayang pula! Tak pasal!

“Err.. jaga kedai! Keluar kejap!” Tangan aku sudah ditarik Aizat, aku terpaksa berlalu pergi tanpa boleh menceritakan apa-apa kepada Lisa.

Di luar kedai, di hadapan kereta Aizat, aku melepaskan tangan aku dari pegangannya. “Awak ni sakit ke apa? Tiba-tiba saja bersayang abang pula ni? Baru balik ya, dari Tanjung Rambutan?” marah aku.

“Haaa… ini bukan balik dari Tanjung Rambutan tahu. Ini balik dari Tanjung Harapan! Berharaplah agar ada orang melanggar saya sehingga saya mati, tak perlulah saya nak kena kahwin dengan awak!” Aizat geram! Dia mengetap bibirnya.

“Eeiii… siapa entah nak kahwin dengan awak!”

“Siapa nak pun kahwin dengan awak?”

“Saya nak…”

Tiba-tiba muncul satu suara… dan aku tergamam. Hasif! Mampus!

******

Hasif.

Dia ni arkitek dekat syarikat sebelah butik mak datin. Syarikat tu, dia yang punya. Actually, bapa dialah punya, tapi kira dialah yang punya. Entah mengapa, dari awal aku kerja situ, aku tak berapa suka dengan Hasif. Tapi dia ni, pantang nampak aku! Dia memang suka kacau aku. Kalau aku tak ada dekat butik tu, dia akan pergi kacau dekat butik satu lagi. Nasib baik dua butik lagi memang jauh. Kalau tak, agaknya, dia memang nak buka firm dekat situ!

Kenapa aku tak suka dia? Sebab ada satu tentang dia, menyebabkan aku reject dia. Yelah, dia suka ejek nama aku! Marahlah aku! Walaupun dia anak orang kaya, kerja hebat, kereta besar, aku peduli apa! Tapi semalam, sebenarnya aku ada memikirkan juga tentang kata-kata dia tu. Bersungguhnya dia hendak memiliki aku.

Betul ke dia memang cintakan aku?

“Kalau awak tak nak kahwin dengan dia, biar saya yang kahwin dengan dia!” ujar Hasif.

Aizat memandang aku. Langsung tidak jadi hendak masuk ke dalam keretanya. Aku yang ada di situ, huh… rasa macam sedang tengok drama. Tengah ada camera ke ni? Pengarah? Producer? Action! Cut!! Aduhai Deeba, hang boleh pula buat screen play sedangkan mereka ini sedang berebutkan kau! Ceh…

“Awak ni siapa?”

“Saya Hasif, boyfriend Deeba!”

“Ohh… boyfriend!” Aizat memandang aku.

Aku, ya pun tidak, geleng pun tidak. Masih seronok menonton drama di hadapan aku ini. Tak ada dalam mana-mana televisyen ni! Saja aku nak tengok, sejauh mana mamat kekwat ni boleh pergi! Sehebat mana pula mamat sibuk ni boleh kayuh!

“Haa.. boyfriend!”

“Awak tahu tak, so called girlfriend awak ni, dia ni sudah menghancurkan masa hadapan saya. Dia dah menyebabkan satu keturunan saya menanggung malu. Jadi, jangan haraplah awak dapat kahwin dengan dia sebab, saya nak kahwin dengan dia.”

“Hahhh?!!” Aku terkejut, Hasif terperanjat dengan kenyataan Aizat.

“Kalau awak nak musnahkan hidup dia sebab khalwat ini, awak jangan nak mimpilah!” marah Hasif. “Saya akan tentang habis-habisan!”

Fullamak, fullapak! Memang macholah Hasif ni! Kenapalah aku tak ternampak dia dulu ni?

“Awak tak ada hak pun nak halang Encik Hasif sebab kita orang akan menikah pun minggu ini. Jadi, jangan nak masuk campur urusan rumah tangga orang!”

“Awak jangan nak musnahkan hidup dia. Kalau hanya hendak berkahwin sebab nak musnahkan hidup dia sebab bagi awak dia sudah memusnahkan hidup awak, awak silap! Dia bukan seorang perempuan yang macam tu!” ujar Hasif.

Aduh… hati tiba-tiba jadi cair. Rasanya macam Remy Ishak tu! Sesungguhnya dia seorang gentleman yang mempertahankan maruah aku. Rasa nak sebak pun ada ni. Sesungguhnya, drama ini cukup puitis! Bibir aku tiba-tiba mengukir senyum… pertama kali aku senyum ikhlas buat Hasif.

Aizat memandang aku, tak puas hati.

“Kalau saya tak tahu dia baik, saya tak akan nak kahwin dengan dia, Hasif! Deeba, masuk dalam kereta. We have a lot of work to do today and I don’t have time to this nonsense.” Suaranya agak meninggi. Aizat memakai cermin mata hitamnya dan membuka pintu kereta Mazda putih miliknya.

Aku tergamam. Dan tiba-tiba kaki aku melurut masuk ke dalam kereta… keliru.

******

Di dalam kereta, aku diam. Nak tanya, takut! Penakut rupanya kau dengan mamat kekwat ni Deeba. Mana hilang taring kau tu? Tinggai gusi saja ka? Mampuih haih kalau dia terjah aku tiba-tiba. Mahu tercopot jantung. Masa dia meninggikan suara kepada Hasif tadi, aku pun dah rasa nak pengsan.

“Mummy pesan, dia dah beritahu dekat mak awak tapi dia suruh beritahu awak. Dia takut awak terkejut pula yang minggu ini, datang merisik, bertunang dan terus menikah. So, to date, lagi 3 hari kita nak berkahwin. Hari ini kita kena selesaikan semuanya. Borang-borang tu semua, cincin dan baju. Yang lain, mummy uruskan.”

Aku dengar saja. Benarkah dia nak kahwin dengan aku ni? Kalau aku lari macam mana?

“Bab duit hantaran. Mak tak cakap berapa tapi mak cakap suruh bincang dengan awak. Awak nak letak berapa? Tak perlulah nak letak mahal sangat! Awak tu, dah bekas-bekas girlfriend orang!”

Aku bengang! Bercinta pun tak pernah, macam mana boleh jadi bekas pula ni? Sukahati dia saja menuduh aku!

“Awak pernah baca berita, ada orang tumbuk perut sampai tembus ke luar? Ada? Pernah baca?”

Aizat ketawa. “Kenapa? Awak nak praktik kan ke? Tapi, betul apa, saya cakap. Kalau tak betul, Hasif tu siapa?”

“Jiran sebelah butik mummy awaklah!”

“Oh… bukan jiran hati awak?”

“Bukanlah!”

“Jadi dia bukan boyfriend awak?”

“Bukanlah! Saya tak ada boyfriend.”

“Macam mana dia tahu pasal kes khalwat tu? Dia ada dekat situ ke?”

“Saya cakap dekat dialah, semalam.”

“Ohh… tapi bukan boyfriend?”

Aku memandang Aizat. Apahal banyak soalan ni? Lawyer ke?

“Bukanlah! Berapa kali nak cakap?”

“Kalau bukan boyfriend, kenapa cerita pada dia, pasal kes semalam?”

“Sebab dia suka kacau saya, saya tak suka dia kacau saya. So, saya cakap pasal kes semalam to get rid of him, tapi saya tak sangka, jadi macam ini. Ini awaklah punya pasal! Awak cakap, kalau saya cakap dekat orang lelaki lain, yang saya dah kena tangkap khalwat, tak ada orang lelaki yang nak kahwin dengan saya. Rupanya… jadi lain pulak!” Aku mengetap bibir.

Aizat memandang aku. Tersenyum. Dia memberhentikan keretanya.

“Tak apalah. Kan saya nak kahwin dengan awak. Apa lagi nak dirisaukan?” Dia kemudian keluar dari keretanya.

Aku yang duduk disitu, tercengang. Erkk… apakah?

Tiba-tiba… pintu kereta aku dibuka. Aku terkejut.

“Haa… apa lagi mengelamun? Awak ingat saya banyak masa nak melayan awak punya termenung tu! Cepat keluar, kita dah sampailah tuan puteri!”

Erkk… cepat betul! Aku keluar dan melihat kedai emas di hadapan mata. Huhh… mengeluh! Fikiran bercelaru. Dia ni sat okay, sat kekwat! Buat sakit hati sajalah! Bila nak selesai ni?

“Eh awak!”

Langkah Aizat terhenti. “Apa?” Dia memandang aku.

“Lepas kita nikah hujung minggu ni, hujung minggu depan, awak nak ceraikan saya ya?”

“Kahwin pun belum, dah cakap pasal cerai. Cepatlah! Kita ada next appointment ni. Butik Khayra tu selalu payah nak dapat buat appointment.”

“Tak adalah. Kalau awak ada rancangan macam tu, saya nak pilih cincin tikam 20 sen tu saja!”

Dia ketawa.

“Ketawa pulak! Saya serius ni.”

“Kenapa pula nak beli cincin macam tu?”

“Yelah! Saya tak mahulah awak membazir kalau akhirnya awak nak menceraikan saya. Kalau orang bagi, tak baik tahu nak minta balik!” ujar aku bersungguh-sungguh. Yelah, kalau kahwin bukan untuk selamanya, dah tahukan masing-masing benci each other, so, apa perlu membazir? Bukan aku kahwin kerana dia berduit! Aku tak mahulah! Aku mahu selesaikan cepat-cepat dan nak pergi cari kerja lain! Tak nak aku duduk di sini lagi.

“Tak apalah! Bukan duit saya pun, duit mummy!” Dia menarik tangan aku, menyuruh cepat masuk ke dalam kedai emas itu.

“Lagilah saya tak mahu.”

“Kenapa pula?”

“Kasihan dekat datin.” Aku jadi sebak pula. Lama dia jadi bos aku, dia tak pernah herdik, dia tak pernah marah kalau aku buat salah. Dia bela aku bukan macam dia tu bos aku, dia anggap dia tu mak aku dan aku ini anaknya. Kalau duit mak datin… aduhai. Mana nak ganti balik ni?

“Pulak! Awak ni, macam mana ni?”

“Awak ni, tak sensitif langsung! Awak ingat senang ke nak dapat duit? Yelah, awak tu orang kaya. Celik mata saja duit. Macam mana saya nak bayar ni?”

“Adeeba…” panggil Aizat lembut. Aku memandang dia. “Sekarang ni, ada ke saya kata nak ceraikan awak?”

Aku mengelengkan kepala. Aku yang kata!

“Dah tu, cepatlah!”

Aku akhirnya menurut, erkk… makna kata, kahwin sampai bila-bilakah? Aku membiarkan persoalan itu terhenti dalam benakku. Berpulas memilih cincin. Aizat kata kena pilih tiga cincin.

“Tu diaaa haih! Punya banyak! Nak buat apa, banyak-banyak cincin?” Aku ternganga. Satu cincin pun rasa susah nak pilih. Aku berkenan yang ini, Aizat tak berkenan pula. Bila aku suka yang itu, dia kata tak cantik pulak. Mana satu?

“Mummy cakap, merisik, bertunang dengan menikah.”

“Berkhalwat pun boleh dapat tiga cincin noo.. dasyatlah noo…”

“Itu pasal lah awak perangkap saya ya?” Dia bertanya pada aku.

“Eh ehh… awak jangan nak mula. Sat lagi puting beliung mai.”

“Tak apa! Jangan period awak mai. Hujung minggu, saya tak dapatlah!”

Aku tergamam. Siot! Dia ketawa seronok melihat muka aku merah padam. Hantu betuii mamat kekwat ni! Sempat lagi mengena aku.

“Saya nak ini saja. Tak mau dah.”

“Simple sangatlah Deeba.”

“Okaylah tu! Cukup syarat.” Aku memilih dua cincin belah rotan dan satu lagi ada sebutir berlian.

“Nanti, apa mak awak cakap pada saya? Pakai kereta besar, cincin untuk isteri pun tak boleh nak beli? Macam keluarga saya tak bersungguh nak buat awak sebagai menantu! Haa.. awak nak ke orang cakap macam tu? Awak nak mummy kena kata macam tu?”

Aku terdiam. Akhirnya, aku bersetuju sajalah dengan cincin yang dipilih Aizat. Hebat-hebat pilihannya, harganya juga membuatkan mata aku jadi kelabu! Huhh… kalau beginilah caranya, ramai anak dara nak buat plan kahwin khalwat dengan anak datuk! Erkk… tu dia punya statement!

Usai sudah membayar duit cincin, aku dan Aizat menghala ke kereta.

“Eh awak…”

Langkah Aizat terhenti dan memandang aku.

“Betul ke awak tak ada rancangan untuk menceraikan saya hujung minggu depan?” tanya aku, nak kepastian.

“Ada saya cakap ke, tak akan ceraikan awak lepas kita nikah nanti?”

Aku mengelengkan kepala.

“Ada ke saya cakap, saya akan ceraikan awak nanti?”

“Tak juga!”

Kalau tak cerai pun tak ada kata, nak cerai pun tak ada habaq, dah tu, apa dia? Aku mengerut dahi. Takkan gantung tak bertali kot?

“Lu fikirlah sendiri!” Aizat ketawa.

Erkk… apa mamat ni! Sakit hati betul. “Eeeeiiii bangang!”

******

Telefon aku tidak berhenti berdering sebaik saja aku masuk ke dalam kereta Aizat, menuju ke Butik Chenta Khayra. Aku melihat nombor di skrin, itu nombor Hasif. Alahai, apa mamat ni nak? Aku nak jawab apa pulak?

“Kenapa?”

“Tak ada apalah!”

Aku meletakkan kembali telefon ke dalam beg. Aku perlahankan bunyi telefon itu. Tiba-tiba berbunyi lagi. Haih! Patut aku off kan saja, tapi masalahnya takut mak pula yang telefon! Serba salah pula dah.

“Siapa?”

“Apa?”

“Siapa yang telefon?”

“Hasif.”

“Bagi sini telefon tu.”

“Awak nak buat apa?”

“Saya nak cakap dengan dialah.”

“Tak perlulah. Masalah saya biarlah saya sendiri yang selesaikan.”

“Cuba awak cerita dengan saya, macam mana awak nak selesaikan masalah dengan Hasif tu?” Dia masih tekun membawa keretanya menuju ke butik itu. Tak adalah jauh cuma sekarang dah agak tengah hari, banyak kereta. Ramai keluar makan tengah hari.

“Saya cakaplah saya tak ada pilihan lain, saya terpaksa kahwin dengan awak.”

“Okay. Bagus.”

“Lepas tu, saya cakaplah dekat dia. Kalau dia mahu tunggu saya, tunggulah minggu depannya. Awak akan ceraikan saya dan saya kahwinlah dengan dia.”

Tiba-tiba kereta itu brek mengejut! Aku agak terkejut. Menjerit kecil! Mana tak nya, dengan tak pakai tali pinggang, aku sudah meluncur ke hadapan. Nasib baik, tangan Aizat sempat menghalang aku dari muka tersembam dekat dashboard. Aku mengucap panjang!

“Apa awak ni!” Marah aku.

“Sorry… sorry. Saya tak perasan lampu depan, merah. Saya ingat lepas tadi! Sorry ya.” Pucat muka Aizat. “Awak okay ke tak?” tanya dia.

“Hemm… Ingatkan apa.”

“Apa?”

“Saya ingatkan awak terkejut saya buat keputusan nak kahwin dengan dia.”

“Pigidah! Awak ingat saya nak sangat nak kahwin dengan awak ke? Kalau bukan pasal khalwat, mummy dan papa… saya pun tak mahu kahwin lagilah.” Ujar Aizat, tak mahu juga nak mengalah. Aku dah naik bosan dengan perkataan khalwat tu. Sesuailah sangat tu, kahwin khalwat dengan orang kekwat, kencing kuat!!!

“Supaya awak boleh berpoya-poyakan?” Saja nak mencari pasal.

“Aik… minah ni.”

Aku buat tak tahu. Bilalah hari ini nak habis? Supaya malam ini boleh aku tidur dengan lena!

“Saya bukan orang yang teruk sangatlah.” Ujar Aizat, perlahan.

Aku diam. Dalam hati… aku pun tahu. Mungkin kerana situasi macam ni, kita orang jadi bengang. Itu yang masing-masing tak mahu beralah. Kekwat! Yelah, masing-masing mangsa keadaan. Tak pasal saja, kena kahwin. Kalau papa dia tak berpengaruh, mungkin boleh saja naik mahkamah.

Apalah nak jadi…?

“Tapi Deeba, saya nak cakap dengan awak…”

Aku memandang dia.

“Apa?”

“Kalau saya tak kahwin dengan awak pun, Deeba. Saya akan pilih Hasif untuk awak. Saya nampak dia memang sukakan awak. Awak tu, jangan nak kekwat sangat. Belajar menerima orang lain dalam hidup awak. Hati awak tu, bukannya milik awak seorang!”

Tiba-tiba… aku terdengar lagu Yuna, Terukir Di Bintang

Hati ini bukan milik ku lagi
Seribu tahun pun akan ku nanti
Kan… kamu…

Sayangku
Jangan kau persoalkan siapa dihatiku
Terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu

Mula otak aku berfikir… siapa pula dihatiku? Pulak!!!

******

Sampai di butik, mak datin sudah menunggu. Suprisingly! Dia mendakap badanku dan mencium kedua belah pipiku, macamlah semalam tak berjumpa. Aku menjadi pelik tengok dia begitu. Bukan apa, sebelum ini memang bersayang-sayang tapi tak adalah macam excited sangat.

“Mummy…” Aizat menyalami tangan mak datin. “Apa buat dekat sini? Bukan nak ambil papa dari airport?”

“Flight delayed, jadi mummy terus ke sini. Nanti kita semua ambil papa dekat airport, kalau sempat. Kalau tak selesai juga, suruh saja Pak Hussin yang ambil. Hanim boleh temankan Pak Hussin tu.”

Patutlah aku tak nampak, Hanim, adik Aizat tu.

“Mummy too excited nak tengok Deeba pakai baju nikah, pastu baju bersanding.”

“Erkk… tapi datin.”

“Panggil mummy, mulai dari sekarang! Jangan panggil datin. I am no longer your boss but your future mother in law.” Tegur mak datin. Alahai! Terlupa! Aku menepuk dahi.

“Sorry… sorry. Tapi mummy, rasa bersanding tu, kita buat lewat sikit, tak boleh ke?” tanya aku.

“Kenapa?” Mak datin separuh nyawa terkejut.

“Aahh… kenapa awak?” tanya Aizat, sengaja.

“Aizat…” panggil mak datin.

“Yes mummy.”

“Apa yang mummy cakap dekat rumah tadi? Panggil isteri dengan panggilan yang…?” Mak datin memandang Aizat seperti menyuruh Aizat menyambung kata-katanya.

“Manja…” sambung Aizat.

“Supaya dia mendengar?”

“Cakap kita!” jawab Aizat.

“Dan dia akan…”

“Lembut hati!”

Aku mahu ketawa. Macam cikgu tadika cakap dengan budak yang baru berumur 5 tahun menyuruh menghormati ibu bapa. Kali ini, mak datin mengajar Aizat, cara-cara bercakap dengan isteri. Perghhh… patutlah si Aizat pagi tadi, tiba-tiba bersayang berabang! Rupanya, practice makes perfect.

“Dengar tak tu Deeba? Deeba pun kena berbuat perkara yang sama.” Tegur mak datin. Aku hanya tersengih mengangguk. Angguk macam nak buat sangatlah!

“Kenapa ayang tak mahu resepsi pulak?” tanya Aizat. “Okay mummy? Okay? Cara ni betul?”

“Betul! Betul… a’ah.. kenapa Deeba?”

“Err… sebab yelah, bukan senang nak kumpulkan saudara mara kalau kita buat terkejut tergempar macam ni kan. Jadi, kalau macam nikah this week, lepas tu, bagi masa untuk edarkan kad. Saudara sebelah arwah abah duduk dekat Johor, susah tu kalau nak ke Johor pula nak jemput. Bukan senang.” Cerita aku.

Aku memang jarang nak bercerita tentang saudara maraku di Segamat tu sebab buat apa nak cerita dekat mak datin pun kan! Tak selalu nak pergi pun. Tapi Wan masih ada di sana. Sekali sekala saja balik, jenguk wan. Tapi tak selalu macam balik Ipoh ke Sungai Petani.

Tapi sebenarnya alasan aku ialah…

“Betul juga kata Deeba itu. Macam tu, kena bincang dengan papa baliklah.” Ujar mak datin eh eh… mummy.

“Datin… apa bincang di luar ni, marilah masuk ke dalam. Sejuk sikit!” panggil Khayra.

“Oh, sorry. Lupa pula! Excited nampak menantu!” Mummy tersenyum. “Jom.. jom..” Mummy sudah mengajak kami masuk.

“Adeeba…” panggil Aizat.

Aku menoleh. “Hemm…”

“Abang tak rasa ayang nak lambatkan resepsi sebab saudara ayang dekat Johor tu? Mesti ada sebab lain kan? Sebab nak kahwin dengan Hasif ya?”

Aku menekup mulutnya. “Apa abang cakap kuat-kuat ni?” Aku menoleh, takut mummy terdengar pula, naya aku.

Aizat menarik tanganku. “Tahu takut!”

“Bukan takutlah, respect! Hati saya ni sensitif bukan macam hati abang tu! Kekwat! Tapi, apa pun keputusan resepsi tu kan tertakluk pada keputusan abang, bukan keputusan sayakan?”

“Ayang… bukan sayalah.”

“Apa-apalah!”

“Ohhh… mumm…”

“Keputusan resepsi tu kan tertakluk pada keputusan abang, bukan keputusan aaayangkan!” Aduh tergeliat lidah rasanya nak bahasakan diri, ayang?! Eeeuwww…

Bibir Aizat tersenyum menyenget. Nak memerli akulah tu!

“Keputusan abang apa?”

“Ceraikan ayanglah hujung minggu depan.”

“Ohh, lupa pula! Nasib baik otak ayang ni bijak. Hard disk bagus, RAM banyak!” Aizat menunjukkan tanda bagus dan menolak pintu itu, masuk ke dalam. Aku dibiarkan, tercengang.

Errkk… itu puji ke perli? Hampeh! Mestilah hard disk bagus meh… pakai anti-virus Al-Quran dan As-sunnah!

******

Memilih baju dengan kehadiran mummy, aku ingatkan bakal memudahkan aku. Sebab selama ini kalau pilih baju untuk pameran, dia selalu percaya dengan pemilihan aku. Tapi untuk pernikahan aku yang tidak aku tahu akan bertahan berapa lama ini, untuk kasut saja sudah dekat satu jam! Walhal menikah, tak perlu nak pakai kasut pun! Kan menikah dekat masjid? Itu baru kasut, belum lagi baju. Baju pun dekat dua jam! Itu baru pilih, belum cuba pakai. Menangis!!!

“Baju untuk photo pre-wedding ada? Ada pakej? Sekali dengan gambar?” tanya mummy kepada Khayra.

Aku serentak memandang Aizat, aku cepat mengelengkan kepala. Aku mencuit-cuit lengannya. Pre-wedding apa pula ni? Ahai mummy oii.. aku dah rasa macam clown dah ni, pakai macam-macam, kena buat macam-macam. Ini bukan selebriti nak pre-wedding segala! Tak sempat dah. Nak lari dari berkahwin ni pun tak sempat dah!

“Mummy, Aizat rasa kita tak sempatlah buat itu semua. Sebabnya, hujung minggu ni nak nikah. Esok dah nak pergi ke Kedah. So, tak sempat. Apa kata, kita buat on the day of reception?” ujar Aizat.

Kadang-kadang otak Aizat ni, bijak juga!

“Betul cakap Aizat tu, dalam pakej reception memang ada untuk gambar dan video sekali! So, how’s datin?”

Mummy mengangguk. “Okay! Betul juga.”

Aku tersenyum lega. Aku memandang Aizat di sebelah aku, “Bijak!” bisik aku.

“Hard disk baik.”

Aku ketawa kecil. Tiba-tiba perut berbunyi.. adeh!

“Lapaq…” Aku sudah memegang perut. Mana tak lapar! Ini dah dekat pukul 3.00 petang, depa ni tak lapaq ka? Mahu naik pitam. Perut sudah berkeroncong! Kalau bunyi lagu Sedetik Lebih bestnya! Yang lapar pun jadi kenyang…

Tiba-tiba Aizat memandang aku. Errkk… dia dengar ke apa yang aku cakap tadi? Atau, dia dengar bunyi perut aku yang minta makan? Alamak! Malunya! Mana nak sorok muka aku yang cantik ni?

“Mummy, keluar kejap. Hisap rokok!” Aizat bingkas bangun, meninggalkan aku dengan mummy.

Aku terjelepuk dekat sofa tu. Untunglah lelaki, boleh hisap rokok! Huh, kalau dapat lelap ni. Dengan keadaan sejuk dalam ni, letih, mengantuk, serta lapar… sah aku boleh tidur lena, meleleh ayaq liuq sampai sebesen!

“Okay ke baju tu?” tanya mummy.

“Okay sangatlah.” Jawab aku, sudah keletihan.

“Kalau macam tu, jadilah saya ambil baju tu, Khayra. Tapi bahagian tangan ni, kalau boleh, tambah sikit labuci boleh? Bagi berat sikit. Baru cantik!”ujar mummy. Khayra tersenyum dan dia kemudian mencatit sesuatu dalam buku notanya. Baju itu memang sepadan dengan tubuh badan aku, tak perlu nak ubah lagi. So, senang kerja dia.

Labuci lagi! Aduhai… naik sendat!

“Okay! Bolehlah Deeba buka. Kak Khayra jahit sikit.”

Akhirnya! Legaaa mak cik! Aku mengurut dadaku. Cepat saja aku bangun dari kerusi dan mahu ke bilik persalinan. Aku nak buka baju berlabuci, berlace ni! Rimas! Dalam bilik persalinan itu, aku terfikir. Terfikir tentang mummy tu? Kenapalah dia itu seperti seronok sangat?

“Deeb, awak ada boyfriend?”

Aku mengelengkan kepalaku.

“Hasif tu, boyfriend awak?”

“Huih, simpang malaikat 44!”

“Deeb, kalau awak jadi saya punya menantu, sayalah orang yang paling seronok!”

Aku hanya dengar sajalah dulu. Aku ingatkan dia puji-puji sebab aku selalu buat kerja dia cepat.

“Mana mungkin saya nak jadi menantu datin, anak datin tu mesti dah sangkut dengan minah salleh mata biru, rambut blonde dekat sana.” Aku tahu, anak sulungnya masih belajar, tapi aku tak tahu mamat kekwat itulah Aizat. Sebab dialah satu-satunya anak mummy yang tak pernah aku tengok. Kalau Hanim, aku dah kenal.

“Anak saya tu, dia tu susah sikit Deeb. Dia tu memilih dan cerewet.”

Patut tambah lagi satu character dia, kekwat! Aku tersenyum. Lamunan aku tiba-tiba hilang, bila aku terbau… makanan! Sangat lapar. Cepat saja aku menukar pakaian dan keluar. Baju itu aku sangkut ke hanger semula.

“Nganga…”

“Erkk.. apa ni?”

“Makananlah! Kata lapar? Abang suaplah dulu.”

Segan! Rupanya dia dengar.

“Yelah, tapi kejaplah, ayang letakkan baju ni dulu.” Aku mengerling ke arah mummy yang tersenyum-senyum. Kemudian aku memandang ke arah Aizat. Muka serius sahaja. Sahlah tu, adalah mummy cakap apa-apa yang dia kena buat. Aku nak ketawa. Muka keras tapi hati lembut.

Aku membuka mulutku perlahan dan Aizat memasukkan roti ke dalam mulut aku.

“Ini saja yang ada dekat kedai sebelah tu.” Ujar Aizat.

“Nah Kak Khayra, bajunya.” Aku memberikan baju itu kepada Khayra, dia mahu membungkuskan baju itu beserta kasutnya sekali.

“Saya ke belakang kejap ya, nak tambah sikit labuci dekat tangan ni yang macam datin cakap tu. Nanti, saya datang balik.” Khayra berlalu ke belakang.

“Terima kasih.” Aku mengambil roti bun dari tangan Aizat. “Inipun dah cukup bagus! Lapar gila!”

“Ingatkan badan ayang macam unta, boleh simpan makanan beberapa hari. Buat tak tahu saja, jam sudah pukul 3.00 petang. Perut abang dah bergendang gendut tali kecapi, sakit perut, lapar nak mati!”

Aku ketawa. Sesedap rasa saja menukar puisi lama itu!

Mummy mengelengkan kepalanya sambil tersenyum. “Kalau mummy tahu, kamu berdua cepat mesra begini, dah lama mummy kahwinkan.”

“What?” Aku dan Aizat terkejut, serentak.

“Jadi mummy ke yang rancang semua ini?” tanya Aizat.

“Rancang apa?” Mummy mengerut dahinya.

“Khalwat semalam?” tanya Aizat lagi.

Mummy mengucap panjang. “Kenapa pula mummy yang nak rancang? Mummy pun tak mahu, perkara semalam terjadi. Tapi kalau dah nak jadi, itu satu bonus. Nak tunggu Aizat cari pilihannya sendiri, memang 10 tahun pun susah nak jumpa. Nak tunggu Deeba jadi menantu mummy, mungkin 10 tahun pun tak akan dapat. Kalau perkara macam ni dah jadi, apa impian mummy, Allah sudah makbulkan. Mummy sangat bersyukur! Macam mana caranya terjadi, mummy tak kisah langsung, sebab mummy tahu, pasangan ini, sangat tepat!” ujar mummy. Dia jadi sebak. Mulalah airmatanya mahu jatuh…

Ahai mummy…

Aku memeluk dia. “Jangan begitu. Deeba tak ada niat nak tuduh mummy. Sorry ya!” Aku mengusap belakang mummy dan aku menggamit kepada Aizat, menyuruh dia menenangkan mummynya.

Tiba-tiba lain pula fahamannya. Dia memeluk aku, sekali memeluk mummy. Dah rasa macam group hug!

“Sorry mummy, Aizat pun tak ada maksud begitu. InsyaAllah, apa yang mummy impikan tu, Aizat akan tunaikan. Aizat sayang dekat mummy dan Aizat juga akan sayangkan Deeba, seperti mummy sayangkan Deeba.”

Kata-kata dari Aizat, membuatkan aku tergamam.

“Amboi! Ada group hug tak ajak Hanim pun!!” Tiba-tiba Hanim meloncat memeluk kami dari belakang. Entah daripada mana dia datang, mummy sudah ketawa sambil mengesat air matanya. Pelukan di lepaskan dan mata aku tidak sanggup bertentang dengan Aizat. Berpeluh rasanya! Penghawa dingin butik itu, rasa tidak berfungsi, tiba-tiba.

“Kenapa ni?” tiba-tiba suara lelaki yang garau, muncul.

Aku memandang di hadapan pintu, tercengang. Adakah itu datuk, suami mummy? Mata aku terbeliak! Glupp!!

******

Malam itu, aku tak boleh nak tidur sangat. Pusing kiri, pusing kanan, mata langsung tak boleh nak lelap. Aku buka saja handphone, berlambak missed call si Hasif! Lantaklah, aku sudah tak ada mood nak bertelagah. Hari ini sudah terlalu banyak berjanji!

Aizat.

Ayat dia yang berjanji dengan mummy tadi, sangat aku musykil! Aizat akan sayangkan Deeba seperti mummy sayangkan Deeba. Huh, kalau betul-betul lah aku ini, seorang perempuan yang tangkap jiwang, sudah tentu aku akan terpesona dengan kata-kata mamat kekwat tu. Nampak sangat tadi, bersayang berabang, sebab mummy. Belikan barangan kemas yang mahal-mahal, sebab duit mummy. Beli dan suapkan makanan, sebab mummy juga lapar dan sengaja hendak menunjukkan mesra. Semuanya sebab mummy! Cuba kalau tak ada mummy?

Hasif! Aku teringat bila dia cakap yang si Aizat hendak memusnahkan hidup aku, sebab aku sudah memusnahkan hidup dia. Itu masuk akal juga! Iyalah, depan mummy, Aizat jadi begitu. Bila belakang mummy? Sah aku kena dera? Mana tahukan?

Mummy?

Aku mengeluh. Dia memang sudah aku anggap macam mak sejak aku bekerja dengan dia. Dia memang sangat baik pada aku dan kerana dialah, aku sentiasa berdedikasi dalam kerja-kerja aku. Itu sebab, cepat saja aku menjadi pengurus untuk kesemua butiknya. Bagi aku, aku memang bagi effort yang sangat tinggi, jadi aku wajar dapat tempat yang aku duduk sekarang.

Tapi!

Pelik pula aku dengan mummy ni. Hampir saja aku memikirkan yang dia mengaturkan rancangan khalwat malam itu. Tapi, tengok kesungguhan dia menidakkan hal itu, aku percaya. Selalunya, memang macam itulah perasaan seronoknya kalau sesebuah impian, bila menjadi kenyataan walau bagaimana caranya impian itu tercapai, itu tidak diambil peduli. Kalau dah impian itu tercapai, for sure, rasa macam duduk atas pelangi dan melompat-lompat di atas awan. Itu aku dapati tentang mummy. Dia sangat seronok!

Berbanding dengan mak…

Hemm… esok, baru aku nak balik jumpa mak! Harap mak tak akan fikir apa-apalah tentang perkahwinan mengejut aku beberapa hari lagi tu. Aku juga, tak sempat hendak menelefon Kak Chaq tentang hal langkah bendul itu. Dia pun tak angkat telefon aku! Apalah agaknya perasaan Kak Chaq ya? Tiba-tiba aku kahwin dulu daripada dia. Mungkin dia rasa rendah diri! Yelah… dia memang selalu berasa begitu kepada aku. Belajar tak tinggi, muka tak lawa, duduk pula di kampung dan tak pernah keluar dari Semeling tu!

Berlainan sikap Kak Chaq dengan Hanim.

“Saya tak sangka, abang nak kahwin dengan kak Deeb! Sangat suka!”

“Mesti suka ada makna ni?”

“Yelah! Kalau abang dah kahwin, barulah Hanim boleh kahwin!”

“Pulak!”

Hanim ketawa. “Tapi, Hanim memang suka abang pilih Kak Deeb. Tak sangka, mummy cadangkan kakak, abang terus kata setuju! Memang langkah kanan betul.”

Aku hanya tersenyum. Pandai betul, mummy merekakan cerita. Yelah, cerita pasal khalwat itu, cuma aku, Aizat dan mummy saja yang tahu. Sekarang, sudah termasuk Hasif! Oleh kerana, maruah keluarga, mummy merahsiakan cerita itu dan membuat cerita tentang Aizat bersetuju untuk berkahwin dengan pilihan mummy. And… they all buy it! Itu aku pelik… takkanlah tak rasa macam kelakar? Mak aku yang duduk di kampung tu pun, sudah syak yang bukan-bukan!

“Makanlah Adeeba, jangan melayan sangat si Hanim tu. Dia tu, kalau dilayan bercakap, kelaparanlah kamu.” Tegur Datuk Hamdan. Atau aku sekarang ni, wajib memanggil dia papa. Sampai naik tersasul aku memanggilnya! Biasalah, sementara nak dibiasakan.

“Dah biasa dah pa. Dia memang selalu kacau Deeb dekat butik!” Aku mengerling ke arah Hanim dan tersenyum. Hanim tersengih.

Papa tu, suaranya agak keras. Kalau aku tengok, dia dengan anak-anaknya, nampak mesra tapi tegas sebab kalau dia tegur serta merta mereka patuh. Macam si Hanim tu, lepas banyak sangat cakapnya di meja makan semalam, diam terus member tu. Tak ada nak berbual macam sepuluh tahun tak jumpa! Walhal selalu saja berjumpa dengan aku di butik, merayau memanjang macam tak ada kerja. Maklumlah, kerja dengan papa! Apa ada hal!

Sebenarnya, aku tak tahu Datuk Hamdan itu suami mummy sebab selama aku kerja dekat situ, aku tak pernah pun jumpa papa. Lagipun, kalau mummy cerita pasal papa pada aku, konon berbual-bual, dia bahasakan papa, Datuk atau papa saja. Kalaulah, aku tahu dia tu suami pada mummy, tak adalah aku terkejut beruk. Lagipun, papa tu bukan selalu ada di rumah dan dia tidak mengambil tahu tentang butik-butik mummy.

Kenapa aku terkejut beruk bila tengok papa depan pintu butik? Mahunya tak terkejut! Itulah pak cik yang mula berikan aku kerja gara-gara aku menolong dia sewaktu briefcasenya kena ragut! Kebetulan, aku ada di situ, sedang mencari kerja. Dengan fail, dengan panas terik, mamat yang mencuri itu melanggar bahu aku. Bila aku terdengar pak cik tu menjerit cakap mamat tu pencuri, aku dengan ganasnya, membaling kasut kayu aku tepat pada kepala mamat yang nak bawa lari briefcase tu. Maklumlah, dulu dekat sekolah, aku ni, ratu bola baling. Mamat itu terjatuh di tengah jalan, briefcase itu tercampak di tepi jalan, tiba-tiba datang lori dari belakang, bersepai mamat tu dekat situ juga. Itulah, dah tak sempat nak bertaubat.

“Pak cik tak ada apa nak berikan pada cik.”

“Eh, tak apa pak cik. Kebetulan jalan ini tak ada orang sangat, lagipun kebetulan saya lalu, jadi rezeki pak ciklah bertemu dengan ratu bola baling negeri Kedah ni pak cik!”

Aku ingat dia ketawa berdekah-dekah.

“Cik ni macam budak student? Sini dekat-dekat dengan kolej ke?”

“Eh taklah pak cik, saya ni dah habis study, sedang mencari kerja. Saya ingat nak kerja dulu, sebelum saya nak sambung belajar.”

“Oh, diploma?”

“Tak, degree.”

“Sambung master?”

Aku mengangguk.

“Bagus! Jarang sekarang anak-anak bercita-cita tinggi.”

“Saya nak buktikan dekat orang kampung saya, duk hulu pun boleh belajaq!”

Dia menyeluk poketnya, “Ini kad kawan pak cik. Dia tengah mencari pekerja. Bolehlah pergi sana, mencuba. Kalau kerja rajin, dapat gaji lumayan. Taukeh ni tak lokek.”

Aku melihat nama kad Datin Aisyah… aku menelan air liur banyak kali. “Tu dia, kerja dengan datin nih. Bolehkah saya?” tanya aku sewaktu itu, mana aku tahu pak cik tu datuk!

“Tak salah hendak mencuba. Manalah tahu, kalau menjadi rezeki.”

Itulah kali terakhir aku berjumpa dengan dia, sehinggalah setahun setengah, barulah aku berjumpa dengan dia semula, sebagai bakal mertua aku. Mana tak tergamam! Mujur saja tak pengsan!

“Tak sangka jumpa Deeba lagi!”

“Deeba tak sangka, pak cik tu, datuk!”

“Mana boleh panggil datuk dah, kena panggil papa…” Itulah ayat pertama apabila dia menegurku semalam. Masing-masing terpinga apabila aku mengenali papa, sudah lama! Papa juga tidak pernah cakap pada mummy yang dia kena ragut setahun yang dulu dan aku yang menyelamatkannya. Marah mummy waktu itu!

“Papa selamatkan? Tak ada cedera pun!”

Aizat memandang aku dan membisikkan sesuatu pada aku… “Ayang ni, sangat-sangat istimewa. Ayang kena tahu itu!”

Dan sekarang… barulah bibir menguntum senyum. Haih! Angaulah pulak…

******

Aku bangun awal pagi itu. Aku siap berkemas hendak balik ke Sungai Petani. Kejap lagi, Aizat datang dan aku akan pergi sekali dengan keluarganya. Rumah teres milik mummy yang menjadi tempat tinggal aku itu, aku kemas sikit-sikit. Bukan bersepah sangat pun sebab aku duduk seorang. Mereka yang bekerja di butik itu, ada yang sudah bekeluarga dan ada yang duduk dengan keluarga. Aku saja yang datang dari Sungai Petani, jauh dari keluarga.

“Assalamualaikum, mak.”

“Waalaikumussalam. Hang dah ada dalam perjalanan ka?”

“Dak aih! Belum lagi. Dok tunggu depa mai.”

“Oh, ingatkan mereka dah ambik hang dah tadi. Besan mak habaq, depa dah on the way.”

Erkk… mak aku speaking London? Biaq betui ni!

“Tu dia haih…”

Mak ketawa di hujung talian. Aku pun tersengih.

“Nak berbesan dengan mak datin, off courselah!”

Lagi deras ketawa aku. Mana dia belajaq ni? “Laa mak. Mak masuk astro ka kat rumah?”

“Dak aih! Awat?”

“Manalah tau, dok belajar Astro Tutor TV ka?”

“Haih… tak gaduh nak belajaq situlah! Mak pun mengaji juga! La ni, baru nak praktis balik. Dulu, simpan-simpan.”

Aku ketawa lagi. “Mak… depa sat lagi nak tidoq mana? Mak dah habaq kat mak ngah ka nak pinjam rumah homestay dia tu?”

“Mak dah habaqlah tapi takkan depa nak duk situ kot! Kampung kita ni, dekat dengan kebun getah. Nyamuk banyak! Depa boleh ka tahan? Nanti berbintat-bintat pula muka mak datin tu, naya mak!”

“Depa tu yang galak nak duk kampung! Gasaklah…”

“Hang jangan lagu tu. Sat lagi, depa kata kita ni, tak dak adab. Tata susila menyambut tetamu tu penting, hang jangan nak buat pasai. Depa tu bakal besan mak. Golongan orang berada.”

“Alah! Depa pun makan jugak tempoyak tu! Lidah melayu, bukan lidah orang putih. Tak payah dok hirau. Sat lagi mak tengok depa punya ramah dengan mak, mak pengsan kot!”

“Tu kaa..?”

“Tu la! Takkan Deeba nak bohong mak kot! La ni, Kak Chaq macam mana mak? Dia tu okay ka? Tak dak dia merungut yang Deeba nak langkah bendui dia?”

Mak diam. Lepas tu mengeluh.

“Tak tau nak habaqlah Deeba oii.. Hang balik, hang settle lah sendiri. Mak tanya, dia diam. Mak cerita, dia dok angguk-angguk saja.”

Aku sudah resah. Alahai kakak aku seorang ni…

Aku dengar bunyi loceng rumah bergema, mungkin mereka sudah sampai.

“Hem… okaylah mak. Nanti kita jumpa, kita sembang panjang.”

“Okaylah no.. kirim salam semua. Habaq kat Aizat Hazami tu, bawalah elok-elok.”

“Amboi… sebut nama menantu penuh-penuh!”

“Itu yang dia cakap dekat mak, mak pun sebut yang itulah! Okay, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Aku tercengang.. uiks, bila mamat kekwat telefon mak? Tak ada habaq pun? Aku terus meletakkan telefon dan menggalas beg sandang aku. Tak banyak baju nak di bawa, lagipun baju aku ada juga di kampung. Aku membuka pintu dan aku terkejut. Bukan kereta Mazda putih tetapi BMW hitam. Hasif!

Baru aku nak masuk balik… Hasif menjerit.

“Saya nak jumpa awak Deeba! Please!”

Aku hanya memandang. Langkah terhenti.

“Tolonglah Deeba.” Jerit Hasif lagi dari luar pagar. “Sekejap saja… Ini pasal kes khalwat tu!”

******

“Kenapa senyap saja?” tanya Aizat, setelah hampir setengah jam perjalanan menuju ke Sungai Petani.

Aku dengan dia, menaiki kereta Mazda putih miliknya. Manakala, papa, mummy dan Hanim menaiki kereta yang dibawa oleh Pak Hussin, drebar mereka. Aku tanya kenapa tak naik sekali, kereta mummy tu besar. Mummy kata, nak singgah rumah saudara di Taiping dan minta kami meneruskan perjalanan terlebih dahulu. Mummy kata, saudara mara mereka semua akan datang di hari pernikahan. Tak banyak katanya, lebih kurang 7 kereta Alphard. Aku menelan air liur serupa menelan air sirap sewaktu dahaga. Awat depa tak mai satu bas terus?

Pening memikirkan itu, tapi lega pula memikirkan pertemuan aku dengan Hasif tadi. Satu keputusan sudah selesai tetapi meninggalkan banyak persoalan. Dah naik kedut dahi aku ni! Tak sempat nak pakai mask bagi tegang balik!

“Tak ada apa nak cakap.”

“Pelik! Selalu banyak saja cakapnya?”

“Letihlah! Dua malam tak boleh tidur sebab kes khalwat tu.” Aku memegang dahiku. Tension! Hidup aku sudahlah miserable, sampai sekarang masih belum tahu apa rancangan Aizat terhadap perkahwinan kami nanti.

Aizat tersengih. “Kalaulah ditakdirkan yang masuk tidur di dalam bilik itu bukan abang, ayang nak kahwin ke?” tanya Aizat.

Alahai, depa tak ada tak perlulah nak berabang sayang! “Bukan mereka nampak!”

“Abang nak praktis. So, abang tak adalah kena marah dengan mummy! Kalau ayang tak mahu praktis, ayang soranglah dengar ceramah rumah tangga kelolaan mummy. Sukahatilah! Abang tak paksa.”

Pulak! Sengaja nak letakkan beban atas bahu aku pulak! Tapi… kalau aku juga tersasul nanti, aku yang kena marah pula! Tak pasal dengar ceramah rumah tangga! Tak mahu aku kena ikut satu-satu macam baca alif ba ta saja.

“Yelah, apa soalan tadi, lupa dah.”

“Pasal kalau bukan abang yang…”

“Ohh dapat dah. Kalau bangla sekalipun, saya eh ayang tak mahu kahwinlah dengan cara macam ni. Bukan salah ayang! Ayang berada pada masa yang salah dan tempat yang tak betul. Sepatutnya, dua malam sebelum tu, kena pergi kedai tu bagi siap tapi masalah kerja kedai pekan lama tu banyak, so malam itulah baru nak settlekan. Terpaksalah ayang bermalam di kedai tu. Kalau dua malam tu settle, ayang tak…”

Aku terdiam. Tiba-tiba aku teringat sesuatu!

“Tak, apa?” Tanya Aizat.

“Abang! OMG!! Ayang rasa ada orang setup kitalah!” jawab aku.

“Abang rasa mummy tapi mummy kata bukan.” Ujar Aizat.

“Bukan mummy…” Aku mengelengkan kepalaku.

“Habis tu siapa?” Aizat mengerut dahinya, berpulas dia berfikir.

“Dekat butik tu, yang pegang kunci pintu depan cuma tiga orang. Kalau bukan ayang, mummy, so Lisa ke yang bagi kunci dekat abang bukan?”

Aizat memandang aku. “Bukan Lisa. Hanim yang bagi abang kunci tu. Tapi tak tahulah kunci siapa. Hanim ke yang nak nayakan abang?” Dia mengucap panjang. “But why?”

Aku pun mengelengkan kepala. Tapi bukan Hanim. Yang peliknya…

“Tadi jumpa Hasif.” Ujar aku. Hasif called aku bertalu semalam pasal kes khalwat tu, tapi bodoh, aku tak angkat!

Tiba-tiba, Aizat menekan brek keretanya dan mengucap panjang! Nasib baik aku memakai tali pinggang, kalau tidak lebur lagilah jantung aku!

“Isk abang ni!” Marah aku. Mujur belakang tak ada kereta. “Memang suka bawa kereta brek mengejut ya?” Aku mengetap bibir.

Aizat menekan lampu kecemasan dan perlahan mengatur perjalanan semula. Kemudian mengembalikan lampu kecemasan tadi kepada normal semula.

“Ada burunglah tadi, terlanggar!”

Aku mengerut dahi.

“Burung apa?”

“Burung yang terbang tadi tu lah! Tak apalah, dah mati pun.”

Bila masa pula burung terbang mati kena langgar ni?

“Tadi jumpa Hasif…”

“Ayang jumpa dia atau dia jumpa ayang?”

“Dia datang rumahlah. Apa pula…”

“Dia nak apa? Dia nak ajak kahwin lagi? Tak habis-habis lagi nak cakap dia boyfriend ayang… ha? Tak habis lagi drama?”

“Tak! Dia…”

“Habis tu, dia nak suruh tinggalkan abang? Kahwin lari dengan dia? Itu plan ayang ya?”

Baru aku nak cakap, dia menyampuk. Baru aku nak cerita, dia dah sembur! Bila pula aku boleh cakap ni? Tak menyempat mamat kekwat ni!

“Shutttt up!!! Boleh tak bagi ayang habis cakap dulu, lepas tu abang nak cakap serupa machine gun pun, abang cakaplah!”

Aizat terdiam. Merah padam mukanya.

“Abang tanya saja.” Perlahan dia bersuara. Merajuk!

“Yelah, tanya lepas habis cerita, nanti ayang bukalah kaunter pertanyaan. Ini kaunter belum buka!”

“Oh belum buka ya?”

“Belum…”

Dia senyum menyenget, hampeh, memerli aku!

“Okay teruskan…”

Aku mengambil nafas. “Hasif cakap, malam sewaktu kes itu, dia dapat mesej suruh pergi butik. Katanya kereta ayang rosak, tak boleh nak balik. Dia ada dua handphone, satu untuk pejabat dan satu untuk personal. Yang untuk personal tu, dia tertinggal di pejabat. Tadi baru dia perasan mesej tu… itu yang dia call banyak kali! Dah tak angkat, tu dia datang.”

Aizat berkerut dahinya. “So sepatutnya, yang kena tangkap tu ayang dengan Hasiflah? Bukan dengan abang? Bukan orang nak nayakan abang?”

Aku mengelengkan kepalaku. Tapi, kenapa dia nak buat aku macam tu? Pelik betul! “Bukan! Orang ni nak nayakan ayanglah!”

“Hem… so ayang menyesallah, sepatutnya ayang kena tangkap basah dengan Hasif pastu tiba-tiba dengan abang pulak!”

Aku memandang Aizat. Kecil besar kecil besar mata aku melihat dia. “Abang!”

“Okay, kaunter pertanyaan tak buka lagi.”

“Tahu tak apa!”

“Tapi satu soalan, tanya boleh?”

“Hemmm…”

Aku masih berfikir, kenapa aku dianiaya? Sedangkan aku tak berbuat apa pun! Aku kerja kuat untuk mencapai apa yang aku ada sekarang. Sesungguhnya aku tak puas hati!

“Suka kahwin khalwat dengan abang atau dengan Hasif?”

Aku merengus dan menepuk dahi! Tension!! Tapi, Aizat serius.

“Tak suka kahwin yang macam ni sebab, saya tahu, esok lusa awak akan ceraikan saya juga. So pleaselah stop the nonsense! Tak larat sudah nak bersayang berabang. Penatlah!”

Aizat terdiam.

“Saya selalu mengimpikan sebuah perkahwinan yang simple, yang macam orang lain berkahwin. Bukan macam cowboy! Bukan tergesa-gesa macam ni. Kahwin khalwat dengan orang kekwat pulak! Kalau boleh saya nak Kak Chaq kahwin dulu. Dia banyak berkorban untuk saya, tapi saya? Kahwin pun langkah dia, sampai sekarang pun tak mahu bercakap dengan saya. Awak tu, selalu ingat awak saja. Awak ambil peduli tak perasaan saya?”

Aizat diam lagi.

“Awak selalu ingat, maruah awak, hidup awak musnah. Awak rasa saya suka ke buat semua ni? Awak tak fikir ke, arwah abah saya tu? Tenang tak dia dekat dalam kubur? Anak dia kena tangkap khalwat! Untung papa awak masih hidup. At least, dia boleh faham kalau kita explained. Baik saja settle di mahkamahlah, daripada berkahwin dan bercerai lepas tu. Mana mak saya nak letak muka? Keluarga saya?” Bentak aku lagi.

“Sekarang ini, saya tak tahu kenapa dia aniaya saya! Apa salah saya pada dia?” Aku sudah mengigil menahan sebak. Entah, air mata bertakung dalam kelopak mata, apabila teringat arwah abah. Janganlah abah sedih melihat kehidupan aku yang miserable macam ni di alam sana.

Aizat menarik tangan aku.

“Abang minta maaf.”

Dia mengucupnya perlahan tanganku. Dia seperti tersentuh dengan kata-kata aku yang sememangnya, aku dah lupa apa yang aku merepek. Terasa beban itu hilang, apabila diluahkan. Aku memandang dia. Dia terkejut bila mata aku menjegil dia, dia cepat melepaskan tangan aku.

“Oh… Haram!” ujar Aizat. “Sorry… sorry!”

Entah mengapa, bibir aku mengukir senyuman. Rasa kelakar pulak! Haih mamat kekwat ni. Dulu punyalah kekwat, sekarang ni, punyalah… hemm.. perihatin dan minta perhatian! Apahal lah pula dengan hati mamat ni?

******

Mak sudah tersenyum di hadapan rumah pusaka arwah tok, rumah dua tingkat, bawah batu, atas papan. Rumahnya agak besar sebab adik beradik mak ada 14 orang. Oleh kerana mak menjaga arwah tok sehingga meninggal, kami diberikan rumah itu. Lagipula, kami sudah duduk dengan arwah tok sejak abah meninggal lima tahun lepas. Lepas tiga tahun kemudian, arwah tok pula meninggalkan kami. Itu sebab aku ke Ipoh, selepas belajar dan mencari kerja.

Sekarang, aku dah nak mula daftar untuk semester 1, program Ijazah. Kalau tak ada apa aral, aku akan mula kelas dua minggu lagi. Tapi perlu ke cakap dengan Aizat? Hemm… diapun akan lepaskan aku kan? Buat apa nak cakap! Hati mamat kekwat tu, tak boleh nak predictlah! Aku tak sure.

“Assalamualaikum!” Aku menarik mak ke dalam pelukan aku. Hari-hari telefon pun tidak sama dengan berada di hadapan mata. Sungguh aku rindu! Tapi, aku bukan boleh balik selalu.

“Waalaikumussalam. Mana? Takkan satu saja kereta?” tanya mak.

“Ada kat belakang. Depa lewat sikit.” Ujar aku.

“Assalamualaikum, mak.” Aizat menyalam tangan tua mak.

“Waalaikumussalam… oh, ini Aizat Hazami. Jangan bersalam saja, mak nak peluk anak menantu mak ni.”

Aizat ketawa bila mak menarik dia ke dalam pelukannya. “Lama tak ada orang jantan dalam rumah ni. Mak harap, Aizat dapatlah menjadi pelindung kami dan membimbing anak mak, Adeeba.” Ujar mak, ke telinga Aizat.

“InsyaAllah mak. Saya minta restu dan doa dari mak untuk kami. Maaf sebab, terlalu suntuk untuk mak membuat persiapannya. Menyusahkan mak saja!” Aizat membalas pelukan mak sekejap kemudian melepaskannya.

“Mak selalu doakan dan tak pernah berhenti mendoakan kebahagiaan anak-anak mak.”

Aku pula nak sebak! Dah kenapa aku ni? Cengeng!!

“Mak…” Panggil Kak Chaq, dia muncul di depan pintu. Aku sudah menjerit nama dia!

“Laaa… patutlah hingaq tadi, ingatkan pa dia… rupanya hang dah balik!” ujar Kak Chaq sambil bergerak ke arah aku. Dia memeluk aku. Aku agak terkejut dengan reaksi dia yang selamba. Kalau begini, kenapa aku pula yang rasa rendah diri?

“Rindu kat Kak Chaq!” Aku membalas pelukannya. “Telefon, tak pernahnya yang ada.”

Kak Chaq melepaskan pelukanku. “Ada, tapi dok kerja. La ni, sekolah agama tu, dok buat ubahsuai. Baru dapat dana dari kerajaan, itu yang sibuk sikit. Tanya mak, mana ada lekat di rumah.”

“Hemmm… yelah tu! Jom Aizat Hazami, kita masuk rumah. Rehat-rehatkan badan sementara nak tunggu depa mai. Sat lagi, bolehlah bawa keluarga tidoq dekat rumah sebelah ni. Rumah ni depa buat homestay, tataulah mak, hangpa boleh tidoq ka tak? Yelah, dok kat kebun getah pastu, lama tinggai…”

“Tak apa. Jangan susah-susah hati.” Ujar Aizat.

“Kak Chaq, ini Aizat.”

Aizat menyalami Kak Chaq. “Panggil Kak Chaq lah kot no… nama penuh, Afeena Aaliyah. Mari masuk, duduk-duduk dulu. Kak Chaq dah bersihkan rumah tu dah. Nantilah pi sana, makan sini dulu na. Kak Chaq dan mak dah masak.”

Aizat mengangguk-angguk. “Kari ke Kak Chaq?”

“Awat? Hang tak makan kari ka?”

“Isk, kalau mai kedah, tak pekena kari, tak syoklah!”

“Tu kaa? Kari special punya nih… Jom.. jomm.” Ajak Kak Chaq masuk.

Aku memandang Aizat.

“Kenapa ayang pandang abang macam tu?”

“Tok sah dok cakap loghat kedahlah bang!”

“Pasai pa?”

“Dah serupa orang siam!”

“Hampeh!”

Aku ketawa. Cepat saja masuk ke dalam rumah.

******

Aku masuk ke bilik, cantik bilik aku sudah berhias. Simple tapi cantik. Ini bakal menjadi bilik pengantin, hailahhh…

“Kak Chaq beli cadar dekat Sungai Petani. Okaylah kan? Nasib baik sales nak raya cina ni.” Ujar Kak Chaq yang masuk ke dalam bilik itu, sambil meletakkan baju tidur atas katil. “Nah bajunya. Tau dah, hang tak bawa baju. Baju hang semua dah transfer bilik kosong belakang tu. Mak suruh kosongkan almari tu untuk simpan barang lain.” Cerita Kak Chaq lagi.

Aku menarik Kak Chaq duduk di atas katil itu.

“Deeba nak minta maaf dekat Kak Chaq sebab, Deeba tak habaq awai dekat Kak Chaq yang Deeba nak kahwin. Deeba nak minta izin langkah Kak Chaq dulu, patutnya, Deeba minta awai lagi.”

Kak Chaq senyum saja.

“Deeba takut Kak Chaq kecik hati sebab mak kata, Kak Chaq tak mau cakap dengan Deeba. Tak mau cerita pun pasai kahwin tu! Deeba called Kak Chaq pun tak mau angkat. Kak Chaq marah kat Deeba ka?” tanya aku. Aku tak suka adik beradik dok pendam dalam hati. Aku lebih suka, cerita kalau tak puas hati sebab air dicincang tak akan putus punya! Gaduh macam mana pun, akan berbaik semula.

“Mulanya, Kak Chaq terkejut juga sebab tup tup hang called mak kata nak kahwin. Masa tu Kak Chaq ingat hang tu, kena tangkap basah ka? Tapi bila mak datin tu cakap, yang Aizat kena ke London bulan depan sambung belajar, barulah tahu, rupanya, ada sebab lain. Depa kata, nak buat visalah bagai… tempohnya ambil masa.”

Errkk… apasal aku tak tahu nak ke London pula? Mungkin mummy nak cover line kot! Baguih betui kepala otak mak mertua aku ni.

“Tercapailah cita-cita hang nak pi London, sambung belajaq no… dulu hang dapat pi London masa result SPM tu, hang tak boleh nak pi. Maklumlah, kita ni mana ada duit. Nak harap duit kerajaan, habis tu, nak makan apa hang kat sana? Lagipun, abah bukan sihat sangat masa tu kan. Memang rezeki hanglah Deeba. Kak Chaq tumpang gembira.”

Kak Chaq memeluk aku. Aku tersenyum-senyum saja. Yelah tu rezeki! Rezeki nak kena cerai minggu hadapan lagi ada.

“Mana hang dapat Aizat tu Deeba? Pi carilah kat Kak Chaq satu!”

Aku ketawa. “Tu dia, macamlah cari jodoh tu, macam cari ikan dekat pasar!”

“Dia tu baguih. Sopan orangnya. Selalu juga telefon mak, tanya persiapan apa yang tak cukup lagi. Satu hari tu, boleh kata 5, 6 kali telefonlah. Kalau tak dia yang telefon, mak datin tu yang telefon.”

Aku tersenyum saja. Aku tak tahu menahu pun hal itu! Pandai betul dia simpanlah mamat kekwat ni! Nampak saja kekwat, hati di dalam lembut macam kuih tart!

Lega aku bila sudah selesai dengan Kak Chaq. Nasib baiklah mummy punya pelbagai alasan, beruntung juga mempunyai mereka yang membantu menyelesaikan kes khalwat tu. Tapi yang peliknya, mereka ni baik sangat! Apa, ada udang di sebalik mee ke ni?

******

Riuh rendah malam hari pernikahan itu! Penuh rumah aku dengan saudara di sebelah aku dan saudara di sebelah Aizat. Pak ngah dan keluarga mai, Pak lang pun mai, Pak usu pun datang juga bawa anak bini. Adik beradik mak, dok ada 14! Ini baru 4 keluarga, lagi 10? Mahu roboh rumah arwah tok. Tak semua adik beradik mak akan datang untuk esok sebabnya, nikah saja, yang jauh payah nak balik. Di Kelantan ada dua, dia Sabah ada seorang, di Sarawak pula dua keluarga dan banyaknya di sebelah selatan. So, nanti balik waktu kenduri.

Mak ngah punya kelam kabut macamlah esok nak kenduri besar-besaran. Dia tu taukeh kek. Sibuk dengan keknya. Asal pinggan tu habis, di potong dan letak lagi. Orang-orang lelaki, kalau bersembang, ada kopi, ada kuih, lancar sembangnya! Maklumlah, nak kumpul adik beradik sewaktu kendurilah.

“Kak ngah, saya naklah resepi ni.” Ujar mummy. Dia mulalah tu, mengumpul resepi. Memang begitulah mummy! Pantang aku masak apa dan bawa ke kedai, nak resepi! Buatnya tidak juga.

“Alah, senang saja Aisyah. Resepi kek butter saja.”

“Senang tak senang, saya nak juga!”

“Bilalah mummy nak buat?” tanya aku. “Sembang sajatu! Nak penuhkan buku resepi dia.”

“Sementara nak tunggu Deeba bagi cucu kat mummy, mummy buatlah. Sementara tak busy!”

Errkkk.. aku tersedak! Kek yang baru aku sumbat ke dalam mulut, rasa tersekat di anak tekak.

“Fuangggg!!!” Mak menghembus ke dahi aku, dia menepuk belakang aku. “Baru minta satu cucu, belum lagi dua ke tiga cucu.”

“Kenapa ni?” Tanya Aizat, bergegas kepadaku. Muka aku jadi merah, tercekik punya hal! Terus meneguk air.

“Tak ada apalah!”

“Apa yang tak ada apa? Muka ayang merah ni kenapa? Tertelan biji saga ke?” tanya Aizat.

Isk, dia ni banyak cakap sungguhlah.

“Mummy cakap pasal cucu, dia tersedak!” Mummy ketawa.

Aizat tersenyum simpul. Adalah tu, dalam kepala otak dia yang bukan-bukan difikirkan. “Oh, cucu. Boleh, tak ada hal. Malam ni pun boleh proses!”

Aku yang sedang minum air, tersembur! Betul-betul depan muka Aizat. Habis, pakat-pakat riuh, ketawa.

“Ayang!!!” jerit Aizat.

“Sorry… sorry! Tu lah, siapa suruh cakap yang bukan-bukan.” Aku mengambil tisu dan menyapu mukanya. Nak tergelak pun ada. Tak pasal! Tu lah, kekwat lagi, kan sudah mengena!

“Kalau mak nak tiga cucu sekaligus pun tak apa, mak.”

Dia buat sekali lagi. Aku ingatkan dia dah insaf.

“Kenapa?” Mak pun melayan!

“Papa ada adik kembar tiga. Jadi, tak ada masalah. Small the matter! Ada dalam keturunan Aizat.”

“Errkkk… abang!!!” Giliran aku pula yang menjerit. Terkejut dengan tingkahnya! Tak malu betul.

Aizat ketawa. Haih, kang aku ambil air pili bomba sembur kang!

“Haa… Dijah.” Panggil Pak Ngah.

“Ya bang.” Mak menyahut.

“Kenduri belah kita tu, hang cadang nak langsung bila?” tanya Pak Ngah.

“Ikutkan Deeba, nak buat hujung bulan.” Mak memandang aku. Aku hanya mengangguk.

Bila cakap pasal kenduri, aku jadi sayu! Apalah nasib aku nanti? Aku bingkas bangun, beredar dari situ membiarkan mereka berbicara tentang majlis aku, untuk esok dan bulan depan.

Aku termenung, dekat pangkin bawah pokok rambutan depan rumah. Di situ, memang tempat aku membawa diri, berangan! Berangan nak kahwin orang kaya, so, boleh buat rumah untuk mak, besar-besar! Walaupun ini dah cukup besar, tapi aku punya berangan tahap mansion! Akhirnya, jadi kenyataan dan bakal lenyap, dalam seminggu lagi. Esok nak nikah, tak rasa happy pun!

“Kenapa duduk sini?” tanya Aizat.

“Saja, ambil angin luar.” Jawab aku. “Abang tak cakap pun pasal ke London bulan depan, nak sambung belajar?”

“Yelah, ikut isteri nak sambung master. Hebat juga ayang ni ya! Kalau tidak kerana mummy, abang tak tahu, ayang ada degree. Mummy kata, ayang kerja butik tu sebab nak biayai duit kolej. Good!”

Aku mencebik bibir.

“Mana ada duit nak pergi sampai ke London tu! Takat PJJ dekat UiTM Shah Alam tu, bolehlah! Apa pula sampai ke London perginya? Abang bolehlah, abang orang kaya!”

“Abang belajar dengan ayanglah! Habis, buat apa abang ke London?”

“Abang jangan nak merepek! Minggu depan, we are no longer ayang dan abang ya… jangan nak suruh ayang berangan-angan sesuatu yang tak akan berlaku.” Ujar aku tegas.

Aizat hanya senyum menyenget. “Apa pula merepeknya!”

“Abang dah cakap dengan mummy, pasal Lisa?” Aku menukar topik! Sakit hati dengan Aizat. Poyo!

Dia duduk di atas pangkin itu, sebelah aku. “Dah.”

“Apa mummy cakap?”

“What can we do? Rambut sama hitam, hati lain-lain. Berharap agar dia berubah dan bertaubat dengan apa yang telah dilakukan. Tapi, kalau bukan kerana dia, kita tak akan jadi yang.”

Aku diam. “Kalaulah kita boleh siasat awal, kita tak perlu nak berkahwin. Kita boleh saja paksa Lisa beritahu perkara yang sebenar. Tapi…” Aku mengeluh.

Masing-masing dengan ego masing-masing! Kekwat sangat!! Itu sebab, tak boleh nak fikir. Kalau boleh fikir tu, mesti ada jalan penyelesaian. Tak perlulah ended up dengan perkahwinan dan penceraian. Tak fikir! Bodoh!!

“Things happen. The way its happen and why its happen, there is must be a reason behind it. Kerja Allahlah ayang, benda dah berlaku. Why bother?”

“Mestilah concern! Abang bolehlah cakap, abang tu lelaki. Ayang ni perempuan, kalau kena cerai, tak ke melekat dekat dahi ni, JANDA! Hish…”

Aizat ketawa. “Apa yang ayang merepek ni?”

Aku diam. Dia boleh pula suka! Merepek katanya aku. Merepek jual kerepeklah!

“Mummy cakap, dalam rumahtangga ni, kita kena jangan buruk sangka. Bila kita buruk sangka, ia akan effect dalam perhubungan kita. So, bila ada keraguan, atau pertanyaan… atau terdetik dalam hati, ayang kena cakap dengan abang, dan abang pun akan cakap dengan ayang. Barulah rumah tangga aman dan damai. Kalau ayang suka merepek macam ni, macam mana nak selesai? Cuba jangan fikir yang tidak-tidak…”

“So, kaunter pertanyaan dibuka ke ni?”

“Malam ni, satu soalan saja.”

“Siapa yang abang bawa tidur dalam bilik tu, dua malam berturut-turut tu?”

“Yang rambut panjang tu?”

“Haaa.. yang pencegah maksiat tu kata, perempuan tu lah! Mereka ingat ayang tapi bukan ayang! Siapa dia? Kenapa dia tak muncul-muncul? Yelah, boyfriend kena tangkap khalwat, takkan tak risau?” tanya aku. Pelik juga yang itu!

Aizat ketawa berdekah-dekah.

“Abang ketawa pulak!”

“Abang expect ayang nak tanya soalan lain! Ayang cemburu ya?”

“Tak kuasalah nak cemburu. Banyak tenaga nak pakailah daripada nak cemburu ni!”

“Betui tu, banyak tenaga nak pakai esok malam.”

“Abang!!!” Aku sudah terjerit. Dia ni merepek betul!

Aizat ketawa.

“Siapa dia?”

“Esok dia datang, ayang tengoklah.”

“Hahh…?!” Aku terkejut. Jangan buat nayalah. Sudahlah memang kahwin tangkap khalwat, lepas tu esok girlfriend dia serang aku pulak! Tak ke naya! Suka sangat buat trouble, apa ingat esok konsert double trouble, Search Wings ke?

Tiba-tiba, telefon aku berbunyi dan itu nombor telefon Hasif. Aku memandang Aizat.

“Siapa?”

“Hasif!”

“Angkatlah.”

Aku terus mengangkatnya sebelum Aizat menukar fikiran. Kejap okay, kejap tidak! Mana satu entah!

“Hello…”

“Hello, Deeba!”

“Ya, Hasif! Kenapa?”

“Sorry, saya ganggu awak malam ni.”

“Tak apa. Apa dia Hasif?”

“Saya berada di hospital ni, Deeba. Lisa, kemalangan.”

Aku mengucap panjang. “Dia macam mana? Okay ke?”

“Dia tak berapa okaylah, Deeba tapi dia nak cakap dengan awak. Ini saya berikan telefon pada dia. Awak cakap ya…”

Dan…

“Hello, kak…”

“Lisa! Macam mana boleh terjadi?”

“Inilah balasan Allah pada Lisa kerana berhati busuk dekat Kak Deeb. Lisa dengki dengan Kak Deeb sebab Kak Deeb baru masuk sudah dapat kepercayaan Datin. Lisa tak pernah dapat layanan seperti itu. Bila Hasif suka dekat Kak Deeb, Lisa ambil kesempatan. Kak… maafkan Lisa!”

Aku sudah menjadi sebak. Ya Allah, selamatkanlah Lisa!

******

Sebaik sahaja lafaz nikah sudahpun dilafazkan sekali oleh Aizat, airmata aku gugur. Aku betul-betul rasa jatuhnya tanggungjawab seorang isteri di atas bahu aku. Saat Aizat menyarungkan cincin dan mengucup dahiku, airmataku jatuh sekali lagi. Entah mengapa, hari ini murah betul dengan airmata. Selalunya, airmata aku takut nak gugur! Hari ini… rasa sebak! Entah bila, lakonan semua ini akan berakhir? Malam ini? Minggu hadapan? Aku tak tahu!

“Dia jumpa saya.”

“Siapa?”

“Aizat.”

Aku terperanjat. Aizat datang berjumpa dengan Hasif? Bila? Adakah selepas menghantar aku pulang ke butik tadi? Dia sudah tahu yang Hasif bekerja di firma arkitek sebelah butik itu, dan mungkin waktu dia, Aizat berjumpa Hasif.

“Kenapa dia jumpa awak? Dia tumbuk awak ke?”

Hasif mengelengkan kepalanya.

“Dia cakap pada saya, janganlah merampas awak daripada dia. Apa yang terjadi itu, adalah rezeki dia mendapat seorang isteri bukanlah seorang beban. Dia kata, dia tidak menganggap awak sebagai seorang yang merosakkan kehidupan dia, dulu iya. Tapi bila dia sudah sedar, dalam diri awak, ada keistimewaan, magnet yang menyebabkan ramai orang tertarik, dia sudah tahu, Allah anugerahkan dia sebutir permata yang tiada nilainya. Kalau sudah permata dalam genggaman, kenapa perlu dilepaskan? Dia tak akan lepaskan awak, Adeeba kerana dia sudah mula mencintai awak.”

Aku tercengang!

“Dia cakap macam tu?”

“Ya. Dia cakap lagi, kalau dia tak ada lagi dan saya masih bujang, dia menyerahkan awak kepada saya. Kalau awak mahu dan saya yakin, dari dulu awak tak mahukan sayakan Adeeba Noor?”

“Awak ni, Hasif!”

Aku teringat kata-kata Hasif sewaktu dia berjumpa dengan aku tempoh hari sebelum aku balik ke Sungai Petani. Bila aku tahu dari mulut Hasif yang Aizat mencintaiku, aku masih ada ragu-ragu. Yelah, Aizat! Tahu sajalah, mamat kekwat. Tapi, bila aku menimbang dan memikirkan balik, sebenarnya, aku akui, hati ini aku kena kongsi dengan Aizat. Dialah pemilik separuh hati aku dan aku memiliki separuh hatinya.

Bila aku dapat tahu, Lisa ialah dalangnya, aku sangat sakit hati! Tak sangka, dia punya dengki dengan aku, sanggup dia nak mengenakan aku dengan Hasif! Allah itu maha adil dan maha mengetahui. Dia sudah mengatur semuanya!

Aku sudahpun memaafkan Lisa. Menurut Hasif, keadaannya yang teruk semalam, sudah beransur stabil. Aku bersyukur kepada Allah, kerana memberi peluang kepada Lisa untuk membetulkan kesilapannya.

Bilik aku, diketuk perlahan. Aizat masuk, serius.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Dia membuka songkoknya dan meletakkan songkok itu di atas meja solek. Dia kemudian duduk di sebelah aku, di birai katil. Dia memusingkan badan aku, supaya mengadapnya.

“Abang tahu, malam ini kita tak boleh nak melakukan malam pertama kita seperti suami isteri yang lain sebab, ayang minta abang berpisah menjelang hujung minggu depan. Tapi, abang rasa, kenapa kita perlu tunggu minggu depan? Kita buatlah rekod Malaysia, kurang 24 jam!”

Aku tak gelak. Dia juga tidak ketawa. Aku sudah mula nak sebak! Aku yang cakap tentang perpisahan! Aku yang mulakan dulu, untuk menarik balik, aku malu. Aku sudah mula jatuh sayang pada keluarganya, aku sudah mula jatuh cinta pada dirinya, tapi… mulut tidak mahu luahkan! Aku bakal menyesal.

“Dengan ini, abang, Aizat Hazami Hamdan melafazkan ce…”

Aku menekup telinga. Aizat menarik tangan aku.

“Ayang, ayang kenalah dengar, kalau tak dengar, macam mana nak sah?”

“Hish! Kalau nak cerai, cerai sajalah.”

“Yelah, kalau tak lafazkan betul-betul, dan ayang tak dengar, macam mana nak sah? Nak guna sms ke?”

Erkk… hampeh! “Yelah!”

“Oleh kerana, kita sudah tahu, akhirnya bakal begini. Dengan ini, abang, Aizat Hazami Hamdan melafazkan cinta tak ada talak kepada Adeeba Aaliyah Ameen sehingga akhir nyawa abang!”

Aku tergamam.

“Hah?”

“Abang cinta ayang! Selamanya.”

Dan serta merta, air mataku mengalir. Aku memeluk suamiku, aku sudah tiada segan silu! “Ayang sayang abang! Ayang minta maaf sebab desak abang yang bukan-bukan.”

“It’s okay. Kaunter pemaafan masih belum tutup.”

“Hampeh!”

Aku ketawa. Sesungguhnya, cinta itu bukan boleh dibuat-buat!

“Abang tak pernah berniat untuk berpisah sebaik saja mengahwini ayang. Sebelum kena tangkap khalwat dulu, mummy dah banyak kali tunjukkan gambar ayang sebagai calon menantunya. Papa pula, tak pernah membangkang. Rupanya, dialah pemula semua itu. Dan Hanim, selalu menyogok cerita-cerita tentang ayang pada abang.”

Patutlah Hanim cakap yang mummy cadangkan aku calon menantunya! Rupanya memang betul mummy berbuat begitu. Aku ingatkan saja mummy reka cerita.

“So, kerana kedegilan abang, abang tak mahu balik ke rumah dan tidur di butik. Nak minta kunci dari mummy, payah, jadi suruh Hanim pinjam kunci Lisa. Malam sepatutnya ayang kerja di butik itu, abang sebenarnya bawa kawan baik abang, si Mus, yang rambut panjang tu, tadi ada datang kenduri kita yang abang kenalkan kat ayang tu.”

Aku teringat peristiwa selepas nikah tadi.

“Ayang…”

“Ya abang.”

“Abang nak kenalkan ‘girlfriend’ abang tu.”

Aku tergamam. Mula aku agak takut, takut kena serang! Bila aku tengok Mus, tersengih-sengih dengan rambut panjang tu, aku tergelak. Rupa-rupanya aku dah kena kencing! Memang macam Mus May! Rambutnya panjang, kalau dari belakang, memang nampak macam perempuan. Dan aku… patutlah!!! Pencegah maksiat tu salah faham!

Hampeh betul!!

“Hampeh!!!” Aku geram!

Aizat ketawa.

“Since dia pun kena halau dengan bini dia kan. So, malam kedua pun dia ikut sekali. Bila masuk malam ketiga, dia tak tahan berjauhan dengan bini, jadi dia berbaik semua dengan bini dia dan abang pula kena tangkap khalwat dengan bini abang ni.”

Aku pun turut ketawa.

“Abang mula redha dan take it as jodoh abang bila Hasif tu, excited sangat nak kahwin dengan ayang. Buat abang geram saja!”

Aku ketawa lagi dan itu sebabnya, Aizat pergi berjumpa dengan Hasif. Konon nak suruh stay away cara gentleman. Dan dia memang seorang yang gentleman, bagi aku. Siapa lagi nak puji suami sendiri weh… Dulu punya mengutuk! Sekarang menjunjung tinggi nampaknya? Walaupun kekwat, syurga aku di bawah tapak kaki suamiku.

“So, sekarang, ayang nak kahwin tak dengan abang? Pergi ke London dengan abang? Sambung cita-cita dan impian ayang bersama abang? Ada anak-anak, kembar tiga dengan abang?”

Aku ketawa. “Bukan sekarang dah kahwin ke?”

“Itu kahwin free, sekarang ni kahwin berbayar!” Mula nak kekwat!

“Amboi… buat apa hendak membazir?”

“Bukan duit abang, duit mummy!”

“Elehhhh…” Aku menjuih bibirku.

“Kenapa eleh?” Aizat mengerut dahinya.

“Ayang tahulah, itu duit abang. Mummy bagitahu.”

“What!!”

Aku sudah ketawa. Sebenarnya, mummy terlepas cakap. Mummy berikan aku seutas gelang kepadaku, katanya hadiah perkahwinan. Papa juga bertanyakan mana aku mahu pergi untuk honeymoon.

“Banyak sangat mummy berikan pada Deeba ni, susah-susah sajalah! Tak perlulah mummy, papa. Ini lebih daripada cukup.”

“Isk… apalah sangat dengan semua ni. Kami tak keluar apa pun perbelanjaan, semuanya Aizat. Dia yang bersungguh hendak menggunakan duitnya hasil kerjanya di London dulu. Even nak pergi London ni pun, dia yang uruskan. Alamak papa! Kita dah terlepas cakap!”

Dari cerita itulah aku dapat tahu!

“Mummy ni, memang tak boleh simpan rahsialah!”

Aizat bingkas bangun dan dia membuka pintu, menjerit memanggil mummy!

“Ya Allah, suami aku ni…” Aku berlari keluar mengekorinya. Betul-betul dia nak marah mummy kerana beritahu rahsianya ke? Cepat aku nak selamatkan mummy.

“Mummy!!”

Belum sempat aku hendak menekup mulut Aizat, Aizat menarik aku ke dalam pelukannya.

“Apa? Jerit-jerit ni? Takkan nak tidur pun nak ajak mummy lagi?”

“Isk! Apa ajak mummy pulak. Nak cakap, resepsi kahwin tu, kalau buat hujung minggu depan pun tak apa. Boleh kan mak?” tanya Aizat.

“Bulih aihhh…” jawab mak.

“Lagi senang!” ujar mummy.

Yang lain semua setuju dan aku pun tersenyum. Ingatkan apa tadi!

“Yelah, Aizat bukan apa, takut kalau buat hujung bulan, Deeba muntah-muntah pulak. Maklumlah, inikan Aizat, sekali serang mesti masuk gol!”

Errkk… Aku tersentak. Aku menjegil mataku kepadanya. Cepat saja dia melepaskan pelukannya dan berlari masuk ke dalam bilik. Eh eh mamat kekwat nih…

“Abang!!!” Berlari aku mengejarnya. Malangnya, aku terlewat dan pintu sudah berkunci. Aku menjerit menyuruh Aizat membuka pintu bilik itu dan pakat-pakat ketawa melihat telatah kami! Eeeiii… mamat kekwat ni! Memang gawatlah!

Kerana cinta, hati yang kekwat pun boleh cair macam dakwat! ~ Syamnuriezmil


Labels: